Arsenal dibelasah Brighton, Spurs tewas lagi

Facebook
WhatsApp
PEMAIN tengah Brighton, #14 Chema Andrés, menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Brighton and Hove Albion dengan Arsenal di Stadium American Express Community, Brighton, selatan England, pada awal pagi tadi (waktu Malaysia). Foto AFP

LONDON, United Kingdom: Permulaan sempurna Arsenal dalam mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir selepas dibelasah 3-0 oleh Brighton pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) manakala Tottenham Hotspur masih belum meraih kemenangan selepas tewas 3-2 kepada Aston Villa.

Skuad kendalian Mikel Arteta tiba di pantai selatan dengan prestasi cemerlang selepas memenangi kesemua tujuh perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.

Namun, Brighton meneruskan prestasi baik mereka pada awal musim apabila gol Pascal Gross, Charalampos Kostoulas dan Chema Andres memecahkan benteng pertahanan Arsenal yang sebelum ini sukar ditembusi.

“Brighton berhak memenangi perlawanan ini. Kami gagal melakukan perkara asas dengan betul untuk tempoh yang lama,” kata Arteta.

“Ini pengajaran besar untuk kami. Cara pasukan bermain dan bersaing dalam tempoh enam atau tujuh minggu lalu sangat mengagumkan, tetapi hari ini menjadi pengajaran besar.”

PEMAIN tengah Brighton, #10 Georginio Rutter, berebut bola dengan pemain pertahanan Arsenal, #06 Gabriel Magalhaes, ketika perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Brighton and Hove Albion dengan Arsenal di Stadium American Express Community, Brighton, selatan England, pada awal pagi tadi (waktu Malaysia). Foto AFP

Kekalahan itu merupakan musim ketiga berturut-turut juara Liga Perdana Inggeris tewas di Stadium Amex, selepas Liverpool dan Manchester City melakukannya dalam dua musim sebelumnya.

Brighton turun dengan penuh keyakinan selepas menjadi pasukan pertama dalam tempoh 50 tahun yang bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Manchester United di Old Trafford dalam saingan Piala Liga pada pertengahan minggu.

Skuad kendalian Fabian Hurzeler menyerang Arsenal sejak awal permainan, namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-31 untuk membuka jaringan apabila Gross melepaskan rembatan yang menerjah gawang selepas terkena bahagian dalam tiang

Arsenal sekali lagi dihukum kerana memberikan terlalu banyak ruang di luar kawasan penalti apabila Kostoulas mengambil kesempatan untuk melepaskan rembatan tepat menewaskan David Raya, hanya beberapa minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bukannya bangkit pada separuh masa kedua, Arsenal semakin ketinggalan pada minit ke-60 apabila Andres dibiarkan tanpa kawalan untuk menanduk masuk sepakan sudut Gross dari dalam kawasan enam ela, sekali gus menghasilkan gol ke-16 Brighton dalam lima perlawanan liga musim ini.

“Ini kemenangan istimewa. Bukan sahaja kerana kami menentang pasukan terbaik di England, tetapi juga kerana prestasi yang ditampilkan,” kata Hurzeler.

“Saya sangat bangga dengan pasukan saya.

Kekalahan itu merupakan kekalahan terbesar Arsenal dalam mana-mana kejohanan sejak April 2023.

Spurs ‘terlalu rapuh’

Hari yang mengecewakan turut dilalui pencabar Arsenal dari utara London apabila Tottenham terpaksa melalui tempoh rehat antarabangsa selama tiga minggu dalam kelompok zon penyingkiran.

Selepas gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan, penantian Tottenham untuk menamatkan kemarau jaringan akhirnya berakhir terlalu lewat apabila mereka sudah ketinggalan 0-3 sebelum Conor Gallagher dan Jan Paul van Hecke menjaringkan dua gol sagu hati.

PEMAIN pertahanan Tottenham Hotspur, #06 Jan Paul van Hecke (tengah), menanduk masuk gol kedua pasukannya ketika perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Tottenham Hotspur dengan Aston Villa di Stadium Tottenham Hotspur, London. Foto AFP

Villa berterima kasih kepada penjaga gol Zion Suzuki yang melakukan beberapa aksi menyelamat untuk memastikan pasukannya kekal dalam perlawanan sebelum Johan Manzambi meletakkan pasukan pelawat di depan pada penghujung separuh masa pertama.

Nicolas Jackson mengambil kesempatan daripada kelemahan pertahanan Tottenham untuk menjaringkan gol kedua sebelum rembatan menarik Emi Buendia memastikan kemenangan liga pertama Villa musim ini.

“Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, kami tidak menjaringkan gol, tetapi kami terlalu rapuh,” kata pengendali Spurs, Roberto De Zerbi.

“Apabila tiba masanya untuk bertahan, kami perlu bertahan secara kompak. Pemain yang memegang peranan sebagai pemimpin perlu menunjukkan kepimpinan dan memimpin pasukan.”

Tottenham juga berisiko menduduki tangga tercorot apabila memasuki tempoh rehat antarabangsa jika Fulham tidak tewas kepada Manchester United pada Ahad, selepas Coventry menamatkan kemarau kemenangan dengan menewaskan Nottingham Forest 1-0.

Jay Dasilva menjaringkan satu-satunya gol untuk membantu The Sky Blues meraih kemenangan pertama dalam Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 25 tahun.

Newcastle menamatkan permulaan tanpa kalah Hull yang baru dinaikkan ke EPL selepas menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit pertama menerusi Joe Willock dan Lewis Hall untuk menang 2-1.

PENJAGA gol Aston Villa, #01 Zion Suzuki (kiri), menyelamatkan percubaan pemain tengah Tottenham Hotspur, #17 Savio (kanan), ketika perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Tottenham Hotspur dengan Aston Villa di Stadium Tottenham Hotspur, London. Foto AFP

Konstantinos Tzolakis menyelamatkan sepakan penalti Yoane Wissa sebelum separuh masa untuk memastikan Hull terus berpeluang, sebelum mereka menghasilkan aksi mendebarkan pada penghujung perlawanan di St James’ Park apabila Mohamed-Ali Cho merapatkan jurang.

Everton melonjak ke tangga kelima selepas meneruskan permulaan tanpa kalah dengan kemenangan 1-0 ke atas Ipswich yang beraksi dengan 10 pemain.

Thierno Barry menjaringkan satu-satunya gol perlawanan dan turut menghasilkan satu lagi jaringan yang dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), sebelum Abdul Fatawu dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan aksi terjunan.– AFP