BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan lima vesel atas pelbagai kesalahan di sekitar kawasan perairan zon terbabit pada 28 dan 29 Julai lalu
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kesemua vesel tersebut ditahan selepas menjalankan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri semasa diperiksa, tidak memaklumkan secara bertulis pertukaran nama nakhoda di dalam Sijil Pendaftaran Kapal dan beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi sebagaimana dikehendaki di dalam syarat lesen.
“Kesemua kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntuk hukuman kompaun sehingga RM5,000 jika disabitkan bersalah bagi kesalahan gagal mengemukakan Lesen Perkapalan Dalam Negeri.
“Kompaun RM2,500 disabitkan bersalah bagi kesalahan tidak memaklumkan secara bertulis pertukaran nama nakhoda di dalam Sijil Pendaftaran Kapal.
“RM1,000 disabitkan bersalah bagi kesalahan beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi sebagaimana dikehendaki di dalam syarat lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairol memberitahu pada Jumaat lalu, tiga tongkang yang sedang bersauh dan merapat antara satu sama lain di Pelabuhan Kedua Bintulu serta sebuah bot tunda pada masa sama sedang bersauh pada jarak dua batu nautika dari Muara Sungai Kemena telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia.
“Sebuah kapal kargo pula telah ditahan pada Sabtu lalu ketika sedang bergerak pada jarak empat batu nautika daripada Tanjung Kidurong,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Kami juga amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya lagi.
Oleh Carolyne Utih