Corolla Cross murah jadi umpan, lelaki Bau rugi RM25,000

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

BAU, 6 Oktober: Seorang penduduk Bau kerugian kira-kira RM25,000 selepas terpedaya dengan iklan jualan Toyota Corolla Cross 1.8A di Facebook yang ditawarkan pada harga hanya RM31,000.

Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata mangsa melihat iklan berkenaan pada 20 Ogos lalu sebelum menghubungi individu terbabit menerusi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurutnya, mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai “Mr Pun” daripada sebuah agensi penyumberan luar serta seorang lagi individu yang mengaku sebagai “CS The” daripada sebuah syarikat tunda.

“Selepas bersetuju dengan harga yang ditawarkan, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan, diikuti beberapa bayaran bagi tujuan proses sebelum kenderaan berkenaan kononnya dihantar kepada mangsa,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat pembayaran berjumlah kira-kira RM25,000 ke dalam empat akaun bank berbeza.

Bagaimanapun, kenderaan yang dijanjikan tidak dihantar walaupun mangsa telah membuat beberapa bayaran.

Mangsa kemudian mula menyedari dirinya mungkin menjadi mangsa penipuan selepas diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Haide menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan kenderaan yang menawarkan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Katanya, orang ramai juga perlu lebih berhati-hati sekiranya urusan jual beli hanya dibuat melalui media sosial atau aplikasi WhatsApp.

“Jangan membuat sebarang bayaran sebelum mengesahkan identiti penjual dan melihat kenderaan secara fizikal. Sekiranya mengesyaki berlaku penipuan, segera laporkan kepada pihak polis,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan iklan dan identiti penjual serta tidak mudah terpengaruh dengan desakan untuk membuat bayaran dengan segera.

Oleh Connie Chieng