PETRA JAYA, 6 Oktober: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya mempamerkan permainan positif ketika menentang Tampines Rovers dalam aksi pertama di laman sendiri bagi saingan kumpulan A, Kejohanan Kelab Asean(ACC) Piala Shopee Asean, esok.
Beliau berkata, keputusan perlawanan bukan satu-satunya perkara yang menjadi keutamaan kerana saingan masih panjang, sebaliknya beliau mahu pemain menikmati permainan selain memberikan persembahan yang mampu menarik minat penyokong untuk terus hadir menyaksikan perlawanan Kuching City.
“Saya mahu melihat permainan yang positif kerana kami masih mempunyai musim yang panjang. Apa sahaja keputusan esok tidak menentukan musim ini kerana semuanya masih terbuka untuk setiap pasukan.

“Sudah tentu saya mahu pemain sentiasa menikmati permainan dan menarik penyokong kerana setiap kali kami bermain di laman sendiri, mesti ada sesuatu yang membuatkan penyokong mahu datang semula dan menyaksikannya,” katanya pada sidang media praperlawanan ACC Piala Shopee Asean di Stadium Taha Ariffin, di sini , hari ini.
Aidil berkata, perkembangan sokongan penyokong terhadap Kuching City sejak dua musim lalu merupakan sesuatu yang positif, terutama selepas pasukan itu mencatat beberapa keputusan baik sehingga tiket perlawanan kini semakin mendapat permintaan.
Katanya, keadaan itu jauh berbeza berbanding sebelum beliau menyertai pasukan apabila jumlah kehadiran penyokong di stadium hanya sekitar 200 hingga 300 orang.
“Sebelum saya datang, penyokong hanya sekitar 200 atau 300 orang. Tetapi sekarang selepas kami mendapat keputusan yang baik, stadium penuh dan semua orang mahu mendapatkan tiket.
“Sebelum ini apabila kami memberikan tiket percuma, tiada siapa yang mahukannya. Sekarang semua orang berebut tiket. Ini perkara positif dan kami memerlukan penyokong untuk terus menyokong pasukan,” katanya.
Menurutnya, sokongan penyokong juga kekal positif walaupun Kuching City tidak memperoleh keputusan yang diharapkan dalam sesetengah perlawanan sepanjang dua musim terakhir.
Beliau menyifatkan penyokong Kuching City sebagai antara kekuatan pasukan kerana mereka terus memberikan sokongan kepada pemain dalam keadaan menang atau kalah.
“Saya sudah berada di sini selama dua musim dan saya dapat melihat begitu ramai penyokong yang baik dan positif.
“Walaupun ada keputusan yang tidak memihak kepada kami, mereka masih memberikan sokongan berbanding banyak pasukan yang pernah saya kendalikan.
“Inilah yang kami perlukan, penyokong dan pasukan sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Aidil berkata, aksi menentang Tampines Rovers esok juga memberikan peluang kepada Kuching City untuk mempersembahkan mutu permainan terbaik dalam perlawanan antarabangsa di laman sendiri.
Beliau mengakui Tampines Rovers bukan lawan mudah kerana memiliki ramai pemain berkualiti, termasuk pemain Jepun serta beberapa pemain antarabangsa Singapura yang mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.
Namun katanya, kelebihan bermain di laman sendiri perlu dimanfaatkan dengan pemain menampilkan mentaliti lebih agresif dan yakin untuk berdepan pasukan lawan.
Untuk rekod, perlawanan menentang Tampines Rovers esok menyaksikan Kuching City FC membuat penampilan sulung dalam ACC Piala Shopee Asean, sekali gus menjadi aksi antarabangsa pertama pasukan itu dalam saingan berkenaan di hadapan penyokong sendiri.
Oleh Shahrul Qaizat




