
SIMANGGANG: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman berjaya menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas siling sebuah rumah di Kampung Hilir, Sri Aman dalam satu operasi khas, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik haiwan berkenaan yang memaklumkan kucing peliharaannya tidak dapat turun selepas terperangkap di ruang siling rumah.
Menurut beliau, sepasukan anggota APM Sri Aman telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima aduan bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, anggota bertindak melakukan penilaian keadaan sebelum memulakan usaha mengeluarkan kucing yang berada di atas siling rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Leftenan Kamal berkata, operasi menyelamat dijalankan dengan berhati-hati bagi memastikan keselamatan haiwan berkenaan serta mengelakkan sebarang kerosakan pada struktur rumah.
“Hasil tindakan pantas anggota APM, kucing tersebut berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kucing berkenaan katanya lagi kemudiannya diserahkan semula kepada pemiliknya yang menzahirkan penghargaan atas bantuan dan komitmen anggota APM dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Leftenan Kamal turut menegaskan bahawa APM sentiasa bersedia memberikan bantuan kecemasan dan khidmat kemanusiaan kepada masyarakat, termasuk dalam situasi melibatkan penyelamatan haiwan yang memerlukan tindakan segera.
Oleh Adi Safarman