KUCHING: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuching menjalankan pemantauan bencana banjir dan lawatan ke beberapa kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta keadaan semasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pemantauan pada 1.45 pagi tadi melibatkan dua pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat dengan kekuatan logistik termasuk satu kenderaan pacuan empat roda, empat jaket keselamatan, dua pasang kasut keselamatan, dan empat baju hujan.
Antara kawasan yang dipantau adalah SK Sejijak, Kampung Tengah Sungai, SJK Chung Hua Batu Kawa, dan Dewan Haji Kamarudin yang menempatkan penduduk dari Kampung Segedup serta Kampung Surih.
Laporan terkini menunjukkan paras air di Kampung Sejijak menurun dengan jumlah 61 keluarga atau 344 mangsa terjejas.
Sementara itu, keadaan di Kampung Tengah Sungai dilaporkan telah surut sepenuhnya, dan semua jalan boleh dilalui.
Di PPS SJK Chung Hua Batu Kawa, keadaan adalah baik dan terkawal dengan paras air menunjukkan penurunan. Namun, di Kampung Segedup, paras air masih menaik tetapi keadaan dilaporkan terkawal.
Menurut laporan, pemantauan dan lawatan yang dijalankan mendapati keseluruhan situasi banjir di Kuching berada dalam keadaan terkawal.
Oleh Amanda L.