LUBOK ANTU: Petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu telah melaksanakan tanggungjawab murni membantu seorang lelaki warga emas yang berdepan masalah kesihatan di Kampung Mepi dekat sini, semalam.
Pegawainya, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata lelaki berkenaan berdepan situasi kecemasan kesihatan dan memerlukan bantuan penghantaran pihaknya ke Hospital Sri Aman II di Bandar Simanggang.
“Pengadu ketika menghubungi kami melaporkan bahawa saudaranya berada dalam keadaan lemah dan mengadu mengalami kebas pada kedua belah kaki.
“Disebabkan bimbang, pengadu memohon pertolongan daripada kami untuk menghantar pakciknya itu ke Klinik Kesihatan Lubok Antu,” katanya.
Sebaik sahaja panggilan diterima pada jam 12.20 tengah hari, pasukan MyASPA-O Aplha APM Lubok Antu katanya segera dihantar ke kediaman pengadu dan bantuan kecemasan awal diberi terlebih dahulu kepada lelaki berkenaan.
“Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sri Aman II setelah dirujuk ke Klinik Kesihatan Lubok Antu ,” katanya.
Pihak APM Daerah Lubok Antu kata Desem akan terus melakukan tanggungjawab seperti itu selagi penduduk di sini terus bertindak menghubungi pihaknya bagi tujuan berkenaan dari semasa ke semasa.
“Paling penting sekali ialah penduduk Lubok Antu haruslah sentiasa aktif melindungi diri dan bertindak menghubungi kami di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999 jika situasi kecemasan berlaku di penempatan masing-masing kelak,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG