VALENTINE NGUMBANG
LINGGA: Penyertaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman dalam menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa serangan buaya di sini semalam nyata tidak halang mereka untuk melakukan lain-lain penugasan.
Ia terbukti apabila agensi tersebut bertindak mengurus penghantaran sekumpulan petugas perubatan ke Rumah Panjang Tuai Bruen, Banting di sini menerusi pengangkutan sungai awal pagi semalam.
“Pihak kami telah mengarah dua petugas untuk menghantar seorang doktor, tiga Inspektor Kesihatan dan empat Pembantu Kesihatan dengan menggunakan bot aluminium ke rumah panjang berkenaan.
“Kami dimaklumkan bahawa kehadiran mereka di sana adalah untuk mengesan ‘clone contact’ Covid-19 berhubung kes kematian seorang wanita warga emas berusia 72 tahun dari kawasan itu pada Rabu lepas,” kata pegawainya Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim.
Kata beliau, penghantaran petugas perubatan berkenaan telah bermula pada jam 5.30 pagi menerusi laluan jalan darat dari Bandar Simanggang sebelum kesemua mereka tiba di Jeti Pekan Lingga pada 6.45 pagi.
Dari jeti tersebut, dua petugas APM iaitu Joseph Badar dan Fredrick Enjing katanya, telah memulakan kerja menghantar kumpulan petugas perubatan itu dengan menggunakan bot sehingga tiba di lokasi rumah panjang berkenaan pada jam 8.25 pagi.
“Secara keseluruhan kerja penghantaran kumpulan petugas perubatan berkenan telah berjalan dengan lancar walaupun cuaca di kawasan daerah ini tidak begitu mengizinkan sehingga tengah hari,” katanya.
Siti turut menambah bahawa APM Sri Aman amat berpuas hati kerana dapat melaksanakan tugas berkenaan walaupun mereka sedang memberi fokus dalam operasi SAR terhadap mangsa serangan buaya di Sungai Batang Lupar di sini,” katanya.