
KUCHING: Lebih 100,000 pengguna telah mendaftar dalam aplikasi milik Sarawak Energy Berhad (SEB), SEB Cares dan Carina SEB sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu, menurut Sarawak Energy Berhad (SEB).
Pengurus Besar Pengurusan Aset SEB, Dr Tan Joo Kok berkata, kedua-dua aplikasi tersebut kini menawarkan perkhidmatan yang lebih efisien selepas dinaik taraf dengan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), termasuk penambahan saluran aduan secara dalam talian.
“Aplikasi ini kini boleh digunakan untuk membuat aduan, menyemak bil dan menilai penggunaan tenaga melalui meter pintar. Dengan AI, pelanggan juga boleh membuat anggaran bil elektrik bulanan berdasarkan penggunaan dua minggu terdahulu,” katanya pada sesi Media Coffee Chat di Cityone Megamall, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa sehingga kini, pihak SEB belum menerima sebarang aduan berkaitan sistem aplikasi yang beroperasi sepanjang masa itu.
Dr Tan turut menggesa orang ramai agar terus menyokong penggunaan aplikasi tersebut sebagai satu langkah ke arah pendigitalan sistem perkhidmatan SEB.
“Kami akan terus mempromosikan aplikasi ini kepada orang ramai bagi memastikan ia benar-benar memberi impak positif kepada para pelanggan,” tambah beliau.
Oleh Norman B