Manfaat AI untuk tingkat keupayaan, bukan ganti kemampuan berfikir – Tiang

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN.....Tiang menyempurnakan Majlis Perasmian Sibu Esports Championship 2026 dan TechUnity Exhibition & Forum 2026 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini

SIBU: Generasi muda perlu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai teknologi yang membantu meningkatkan keupayaan manusia, bukannya bergantung kepadanya sehingga menjejaskan keupayaan berfikir dan membuat keputusan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, perkembangan AI yang pesat menjadikan teknologi itu sebahagian daripada kehidupan seharian dan perlu dipelajari serta digunakan secara bijak.

Menurutnya, manusia tidak seharusnya menerima bulat-bulat setiap maklumat yang dihasilkan AI kerana teknologi itu juga boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat.

“Kita adalah manusia, bukan AI. Jangan terlalu bergantung kepada AI sehingga AI menjadi seperti manusia dan manusia pula menjadi seperti robot yang hanya menerima arahan serta mengikut apa sahaja yang diberikan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sibu Esports Championship 2026 dan TechUnity Exhibition & Forum 2026 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, penganjuran TechUnity Exhibition & Forum 2026 amat relevan dalam menyediakan platform kepada golongan muda untuk memahami perkembangan teknologi, membina jaringan serta meneroka idea dan peluang baharu.

 UNTUK KENANGAN….Tiang merakam kenangan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Esports Sibu 2026 dan Pameran dan Forum TechUnity 2026 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini

Katanya, tema ‘Living Smarter with AI Towards a Sustainable Digital Future’ turut menekankan kepentingan manusia menggunakan AI untuk menjadi lebih pintar, kreatif dan mempunyai matlamat yang jelas.

Tiang berkata, e-sukan kini bukan lagi sekadar aktiviti permainan, sebaliknya berkembang sebagai satu industri yang merangkumi teknologi, penciptaan kandungan, pengurusan acara, keusahawanan dan pelbagai bidang kreatif.

“Golongan muda kita mempunyai potensi untuk muncul sebagai juara di peringkat kebangsaan malah antarabangsa. Saya berharap suatu hari nanti kita dapat melihat juara tempatan dari Sibu bertanding dalam acara bertaraf Olimpik,” katanya.

Beliau turut menggalakkan peserta e-sukan supaya terus bersaing dengan penuh semangat, menikmati permainan serta mengekalkan integriti dalam setiap pertandingan.

TechUnity Exhibition & Forum 2026 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan 30 pempamer, empat sesi forum, pertandingan AI, aktiviti jaringan perniagaan serta pelbagai program berkaitan teknologi.

Oleh Akun Giman