SIMANGGANG: Generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran baharu dan keupayaan menyesuaikan diri bagi menghadapi perubahan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata AI berpotensi mengautomasikan sesetengah pekerjaan, namun pada masa sama perkembangan teknologi turut membuka pelbagai peluang kerjaya baharu.
Sehubungan itu, katanya, golongan muda perlu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat selain menguasai kreativiti, pemikiran kritis dan kemahiran menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), dunia pekerjaan juga akan turut berubah. AI mungkin mengautomasikan sesetengah pekerjaan, tetapi teknologi juga membuka ruang kepada peluang baharu.
“Justeru, generasi muda perlu bersedia dengan pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran baharu, kreativiti, pemikiran kritis, keupayaan menyesuaikan diri serta lebih gigih dan rajin dalam mengejar ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Kesedaran Sivik dan Kenegaraan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Aman di Bilik Serbaguna Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Menurut Doris, kesedaran sivik bukan sekadar mengetahui Perlembagaan, Rukun Negara, sejarah dan hak sebagai rakyat, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan dalam kehidupan seharian.

“Lebih penting, ia perlu diterjemahkan melalui tindakan: menghormati orang lain, mematuhi undang-undang, menjaga kebersihan, menghargai kepelbagaian agama dan budaya serta menggunakan media sosial secara bertanggungjawab,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada ketika menerima dan menyebarkan maklumat menerusi media sosial, khususnya dalam era penyebaran maklumat yang pantas.
“Dalam dunia media sosial pula, jangan mudah percaya dan menyebarkan maklumat. Sebelum tekan ‘kongsi’, gunakan dahulu ‘mod fikir’,” tambahnya.
Doris berkata usaha membina Malaysia yang lebih baik bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan dan komitmen seluruh masyarakat.
Katanya, generasi muda perlu menjadi kelompok yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi turut mempunyai kesedaran sivik yang tinggi serta memahami keseimbangan antara hak dan tanggungjawab sebagai warganegara.
“Jadilah generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi celik sivik; bukan sahaja menuntut hak, tetapi memahami tanggungjawab.
“Kecintaan kepada negara perlu dibuktikan melalui ilmu, nilai, integriti dan tindakan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman





