Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Anwar bertemu Canselor Jerman perkukuh hubungan dua hala, perniagaan
  • GLOBAL

Anwar bertemu Canselor Jerman perkukuh hubungan dua hala, perniagaan

Utusan Sarawak 1 year ago
 PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memeriksa barisan kawalan kehormat Tentera Jerman pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery, hari ini. FotoBERNAMA

BERLIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Canselor Olaf Scholz memandangkan Malaysia berhasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan perniagaannya dengan Jerman.

Ketibaan Anwar disambut mesra oleh Scholz di Canselori Persekutuan pada 6.00 petang Isnin waktu tempatan (1.00 pagi Selasa waktu Malaysia) di mana beliau diberikan sambutan rasmi. 

Anwar kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi oleh anggota tentera Jerman atau Wachbataillon of the Bundeswehr sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan. 

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad  Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta Duta Besar Malaysia ke Jerman Datin Paduka Dr Adina Kamarudin.

Turut hadir Setiausaha Negara bagi Ekonomi, Kewangan dan Hal Ehwal Eropah Dr Jorg Kukies serta Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer.

Kedua-dua pemimpin membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian serta bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin selain isu global yang mempunyai kepentingan bersama.

Terdahulu, Anwar yang berada Berlin dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke negara ekonomi ketiga terbesar di dunia itu, bertemu dengan Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier di Istana Bellevue.

Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi itu dijangka terus memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Putrajaya dan Berlin. 

Terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia yang mewujudkan sejumlah 65,000 peluang pekerjaan dan negara itu adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (ASD13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (ASD13.62 bilion) pada 2022. – Bernama

Continue Reading

Previous: Anwar tarik lebih banyak perniagaan Jerman melabur di Malaysia
Next: Kerajaan tangani isu hak kanak-kanak lahir di luar Malaysia – PM

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.