Anak Krakatau: Tiga kapal perang terlibat pencarian wartawan, kru bot

Facebook
WhatsApp
FOTO yang dirakam dan dikeluarkan oleh Polis Wilayah Lampung pada 9 September 2026 menunjukkan anggota Agensi Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) menyertai operasi mencari sebuah bot laju yang membawa lapan individu, termasuk lima wartawan yang dihantar untuk membuat liputan mengenai letusan Gunung Anak Krakatau, di perairan Selat Sunda.

JAKARTA: Tiga kapal perang turut terlibat dalam pencarian lima wartawan dan tiga kru bot yang gagal dihubungi pada malam Isnin ketika membuat liputan letusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Indonesia.

Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya dalam kenyataan Biro Akhbar, Media dan Penerangan Sekretariat Presiden (BPMI Setpres) semalam berkata pengerahan kapal berkenaan adalah atas arahan Presiden Prabowo Subianto yang turut mengarahkan pencarian segera kumpulan wartawan dan kru berkenaan.

Anak Krakatau, yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, kekal pada Tahap III iaitu paras berjaga-jaga kedua tertinggi selepas letusan berpanjangan bermula lewat Jumaat, 4 September.

SEORANG anggota pasukan Agensi Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Wilayah Lampung menyertai operasi mencari pada hari ketiga sebuah bot laju yang membawa lapan individu, termasuk lima wartawan yang dihantar untuk membuat liputan mengenai letusan Gunung Anak Krakatau, di perairan Selat Sunda pada 10 September 2026.

Letusan itu turut menyebarkan abu gunung berapi merentasi bahagian barat Indonesia dan menjejaskan operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta.

Teddy berkata 11 kapal daripada pelbagai agensi terlibat dalam usaha mencari kumpulan yang hilang itu termasuk tiga kapal tentera KRI Leuser-924, KRI Kerambit-627 dan KRI Lepu-861, serta kapal tentera laut dan bot mencari dan menyelamat yang lain.

Lima wartawan tersebut ialah Muhammad Bagus Khoirunnas daripada agensi berita nasional Indonesia Antara, Firdaus Wajidi (Agensi Anadolu Turkiye), Arie Basuki (portal berita Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews) dan wartawan bebas Donal Husni.

Turut bersama mereka kru bot Warta, Surakman dan Heriyanto, ketika membuat liputan mengenai letusan Anak Krakatau di sekitar Pulau Sebesi di Lampung berhampiran gunung berapi berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI Malaysia) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman menyatakan solidariti dan simpati dengan rakan media di Indonesia di samping berharap lima petugas media serta tiga kru bot terbabit ditemui dalam keadaan selamat.

“ISWAMI sedang memantau dengan teliti perkembangan dalam misi SAR (misi mencari dan menyelamat). Doa kami bersama lima rakan media dan tiga kru bot yang mengiringi mereka,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Ahmad Zaini turut memuji komitmen pihak berkuasa Indonesia termasuk Tentera Laut Indonesia yang telah mengerahkan aset mereka dalam operasi pencarian.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai peringatan mengenai risiko tinggi yang dihadapi petugas media ketika membuat liputan bencana selain menekankan kepentingan protokol keselamatan yang ketat bagi mereka yang bekerja di kawasan berbahaya.

Wartawan Bernama di Indonesia Nik Nurfaqih Nik Wil juga secara peribadi menyampaikan rasa simpatinya kepada Pengarah Presiden Antara Benny Butarbutar berhubung kehilangan salah seorang petugas agensi berita itu serta berharap operasi SAR berjalan lancar dan semua yang hilang ditemui dalam keadaan selamat.

Benny merakamkan penghargaan atas kebimbangan itu dan berkata operasi SAR masih diteruskan, dengan Antara turut memantau teliti perkembangan operasi di lapangan. – Bernama