BINTULU, 7 November: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkukuh jaringan koperasi Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi usaha memperluas model Koperasi Kariah Masjid ke beberapa negara, termasuk Jepun.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sebanyak enam masjid di Jepun telah dikenal pasti untuk melaksanakan model Koperasi Kariah Masjid Malaysia yang dijadualkan bermula pada penghujung tahun ini.
Menurutnya, usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif ANGKASA untuk memperluas pelaksanaan model koperasi Malaysia ke luar negara, selepas usaha sama dilaksanakan di Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Filipina.
Beliau berkata, perbincangan dengan Pusat Islam Jepun di Tokyo telah dimulakan sejak Februari 2025 bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.
“Masjid juga boleh menjadi pusat penyediaan produk dan perkhidmatan serta saluran kebajikan kepada komuniti Islam di sana.
“Ini merupakan satu perkembangan yang cukup membanggakan kerana model yang dibangunkan di Malaysia kini berpotensi dimanfaatkan oleh masyarakat Islam di luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Mini Karnival Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad di Masjid Al-Mustaqim, RPR Kidurong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha membawa model koperasi ke luar negara bukan semata-mata bertujuan memperkenalkan nama Malaysia, malah turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan kerjasama ekonomi dan peluang perdagangan rentas sempadan.
Katanya, menerusi hubungan itu, koperasi tempatan berpeluang meneroka pasaran baharu serta menjalinkan kerjasama strategik.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak mempunyai pelbagai hasil dan produk tempatan yang berpotensi dipasarkan dengan lebih meluas menerusi kerjasama antara koperasi, usahawan dan agensi berkaitan.
Beliau turut menggalakkan Koperasi Kariah Masjid meneroka peluang dalam industri halal yang merangkumi pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, penjagaan diri, logistik serta pelancongan.
Oleh Faizah Muzidi





