‘Anak Sarawak jangan dicabar’, misi pertahan kejuaraan SUKMA – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan bendera Sarawak kepada Chef de Mission (CDM) Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, Datuk Gerald Rentap Jabu (kanan), pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke SUKMA ke-22 hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan atlet Sarawak supaya membawa semangat juang untuk menang apabila turun beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor 2026.

Beliau berkata, atlet Sarawak perlu mempunyai keyakinan bahawa mereka mampu mencipta kemenangan tanpa mengira lokasi pertandingan sepanjang temasya berkenaan.

“Apabila kita datang ke Selangor, saya mahu kita datang untuk menang, bukan untuk kalah. Saya tidak peduli di mana kita pergi, di Selangor juga kita boleh menang.

“Ini semangat kita. Anak Sarawak jangan dicabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, Selangor 2026, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak hadir sebagai juara bertahan selepas berjaya muncul juara keseluruhan pada SUKMA 2024 dan gelaran itu perlu dipertahankan di Selangor.

Menurutnya, kejayaan ketika menjadi tuan rumah dua tahun lalu tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan untuk mengulangi pencapaian sama kali ini, sebaliknya atlet perlu membuktikan kemampuan mereka di gelanggang yang berbeza.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak perlu mempunyai aspirasi yang lebih besar dalam pembangunan sukan dengan menjadikan kejayaan New Zealand sebagai antara contoh untuk dijadikan rujukan.

Menurutnya, walaupun mempunyai jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding banyak negara lain, New Zealand mampu melahirkan atlet yang berjaya di pentas Olimpik.

“Kalau New Zealand boleh, Sarawak pun boleh. Kita pergi jauh daripada Selangor. Kalau kita mempunyai aspirasi ke tahap New Zealand, sudah tentu kita mesti buktikan di Selangor bahawa kita adalah juara,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha mencapai standard yang lebih tinggi itu turut memerlukan pembangunan kemudahan sukan yang lebih baik bagi menyokong latihan dan persiapan atlet.

Tambahnya, kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap keperluan menaik taraf kemudahan sukan bagi memastikan atlet negeri mempunyai prasarana yang bersesuaian untuk mengembangkan potensi mereka.

Menurutnya, pembangunan sukan perlu bergerak seiring dengan kemajuan Sarawak dalam pelbagai bidang supaya negeri ini mampu melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang di peringkat kebangsaan, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Abang Johari berkata, kejayaan atlet turut bergantung kepada semangat dan fokus individu ketika menghadapi pertandingan.

Katanya, atlet perlu menjaga kesihatan serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada acara masing-masing bagi memastikan prestasi tidak terjejas.

“Kalau fokus terjejas, mungkin prestasi kita akan terjejas. Jadi lupakan perkara lain dan tumpukan kepada acara sukan,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya membawa imej positif Sarawak sepanjang berada di Selangor serta menunjukkan disiplin yang baik sebagai wakil negeri.

Abang Johari berharap seluruh kontinjen Sarawak dapat mempertahankan gelaran juara keseluruhan dan membuktikan kemampuan mereka walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Oleh Adele Rissa

75 emas sasaran Sarawak pada SUKMA ke-22

KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 75 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos

Kai Wun-Roy King juara Masters Korea

KUALA LUMPUR: Strategi Malaysia dalam acara beregu lelaki membuahkan hasil apabila pasangan Tee Kai Wun-Yap Roy King muncul juara Masters