KUCHING: Boney M berjaya menghidupkan kembali nostalgia era 1970-an menerusi Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-50 kumpulan legenda itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Dengan kehadiran lebih 4,000 penonton, suasana di BCCK malam tadi berubah menjadi pesta disko yang penuh bertenaga, menghidupkan semula magis era kegemilangan Boney M.
Diterajui oleh vokalis asal Boney M, Maizie Williams, membuka tirai persembahan dengan lagu hit mereka, “Sunny”, serta-merta juga mula memukau penonton.
Lagu lain seperti “Rasputin,”, “Daddy Cool”, “Ma Baker,” dan “Rivers of Babylon” turut menghangatkan suasana apabila penonton sama-sama menyanyi dan menari mengikut rentak muzik.
Boney M, yang diasaskan oleh Frank Farian dan kini dianggotai oleh generasi baharu iaitu Kelly Rahman, Samantha Scott, dan Doreen Patel, menutup tirai konsert mereka dengan penuh bergaya melalui lagu “Gotta Go Home”.
Meskipun mereka bukan anggota asal (Liz Mitchell, Marcia Barrett, Maizie Williams, dan Bobby Farrell), formasi baharu ini sering dipimpin oleh salah seorang anggota asal iaitu Liz Mitchell atau Maizie Williams, untuk memastikan identiti dan semangat muzik Boney M kekal terjaga.
Pada masa sama, konsert ini bukan sahaja menghimpunkan peminat lama tetapi turut menarik perhatian generasi muda yang ingin merasai keajaiban muzik disko era kegemilangan Boney M.
Turut hadir menyaksikan konsert tersebut ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Perpaduan, Datok Aaron Ago Dagang.
Untuk rekod, konsert ini adalah persinggahan pertama jelajah global Ulang Tahun ke-50 Boney M.
Selepas membuat persembahan di Kuching, kumpulan ini akan meneruskan jelajah ulang tahun emas mereka di Jakarta pada 10 Januari, Kuala Lumpur pada 12 Januari, dan Singapura pada 15 Januari.
Oleh Mohd Neenatul Aizal