‘Ku Percaya’ bawa Dayang Hana ke fasa baharu kerjaya seni

Facebook
WhatsApp
DAYANG Hana kembali mempertaruhkan buah tangan terbaharunya berjudul Ku Percaya.

KUCHING: Penyanyi kelahiran Sarawak Dayang Hana kembali mempertaruhkan buah tangan terbaharunya berjudul Ku Percaya, yang dipilih sebagai single kelima dalam perjalanan kerjaya seninya kerana selari dengan fasa kehidupan dan perkembangan muzik yang sedang dilalui.

Menurut Dayang Hana, lagu ciptaan Gunan Syah dan Irvan Hamdan itu mengangkat kisah cinta, kepercayaan dan kesetiaan yang dekat dengan realiti kehidupan ramai orang.

Katanya, Ku Percaya membawa mesej bahawa cinta bukan sekadar mencari kesempurnaan, sebaliknya menerima kekurangan pasangan dan terus memilih untuk bersama.

DAYANG Hana pernah menjuarai Carta Cats Expose 2019 menerusi lagu Biarlah Pergi duet bersama Irvan Hamdan.

“Lagu ini menyampaikan mesej tentang kepercayaan dan kesetiaan. Walaupun kita tidak sempurna, kita masih mampu menerima kekurangan pasangan dan mempertahankan hubungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Dalam masa sama, belaiu turut mengumumkan beliau kembali menggunakan nama sebenarnya selepas sebelum ini dikenali sebagai Hana Lyon.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama pihak produksi, komposer dan suaminya kerana nama Dayang Hana lebih dekat dengan identiti diri selain menjadi simbol permulaan baharu dalam kerjaya seni.

Mengulas kejayaan single terdahulu, Maafkan Aku, yang mendapat sambutan menggalakkan, Dayang Hana berkata beliau melihat kejayaan itu sebagai pembakar semangat, bukannya tekanan.

“Saya bersyukur lagu itu masih mendapat tempat di radio dan di hati pendengar. Untuk Ku Percaya, saya mahu menyampaikan sebuah karya yang mempunyai cerita dan emosi tersendiri,” ujarnya.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan komposer Gunan Syah dan Irvan Hamdan yang disifatkannya sudah memahami karakter vokal serta cara penyampaiannya.

Dari segi muzik, Ku Percaya masih mengekalkan identiti balada, namun diberikan suntikan pop rock yang lebih santai dan segar.

“Lagu ini bukan sekadar berkisar tentang kesedihan, tetapi turut membawa rasa romantik, bahagia dan positif apabila kita yakin dengan pilihan hati,” katanya.

Menyentuh proses penerbitan lagu itu, Dayang Hana berkata rakaman mengambil masa yang agak panjang berikutan kekangan masa selain memastikan setiap aspek termasuk susunan muzik dan vokal benar-benar memenuhi kehendak karya tersebut.

Pada masa sama, Dayang Hana menghargai sokongan Luncai Emas Sdn. Bhd. yang disifatkannya banyak membantu perkembangan kerjayanya dengan memberi ruang untuk terus berkarya dan mencuba perkara baharu.

Katanya, cabaran terbesar sepanjang menghasilkan lagu itu ialah menyampaikan emosi secara jujur tanpa berlebihan, di samping memastikan elemen pop rock ballad sesuai dengan karakter suaranya.

Selepas Ku Percaya, beliau akan memberi tumpuan kepada promosi melalui persembahan pentas serta aktiviti bersama media dan peminat, sambil menyimpan impian untuk menghasilkan album dan mengadakan konsert pada masa hadapan.

Dayang Hana berharap Ku Percaya dapat diterima baik oleh pendengar sebagai lagu yang mengangkat nilai kepercayaan, kesetiaan dan memilih untuk terus bersama walaupun masing-masing tidak sempurna.

“Jika ada yang merasakan lagu ini mencerminkan kisah hidup mereka, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Dayang Hana merupakan seorang penggiat seni Sarawak yang aktif dalam bidang nyanyian, tarian, lakonan dan peragaan.

Berpengalaman dalam persembahan pentas, teater muzikal, festival serta sesi fotografi komersial, beliau turut aktif mengikuti pelbagai kelas dan bengkel bagi memperkukuh bakat seni.

Dalam bidang muzik, Dayang Hana pernah menjuarai Carta Cats Expose 2019 menerusi lagu Biarlah Pergi secara duet bersama Irvan Hamdan.

Lagu Maafkan Aku pula berjaya memasuki Carta 10 Sarawak FM, manakala beliau meraih naib juara Pertandingan Karaoke Sabal Idol 2024.

Dalam bidang lakonan, beliau pernah memegang watak utama dalam teater muzikal Kamek Sayang Kitak Juak pada 2017, filem pendek Gincu pada 2025 serta sketsa berirama Terkayo-Kayo sempena Festival Kebudayaan Borneo 2026.

Sejak 2025, Dayang Hana turut menyertai program Bakat Seni Belia Madani Sarawak (BABSAR) di bawah naungan Semaju Bina Production Sdn Bhd dan terus aktif dalam pelbagai program serta bengkel seni.

IPU tidak sihat masih dominasi Sarawak

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat masih mendominasi Sarawak apabila 13 daripada 20 stesen pemantauan merekodkan