KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 16 September ini, menterjemahkan keharmonian dan kebersamaan rakyat Malaysia merentasi wilayah menerusi kepelbagaian budaya serta kepercayaan yang dihayati bersama.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata keunikan penganjuran kali ini mengetengahkan semangat Segulai Sejalai menerusi penyatuan pelbagai kaum dalam acara rasmi peringkat kebangsaan.
Beliau berkata manifestasi keharmonian itu diserlahkan menerusi penganjuran Majlis Kesyukuran Pelbagai Agama kendalian Unit Pengurusan Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada 14 September ini, yang menzahirkan perpaduan daripada penganut pelbagai agama lain.
“Acara kesyukuran ini dijayakan bersama-sama dengan pelbagai agama kerana mereka juga menyumbang kepada kepercayaan masing-masing untuk memastikan perjalanan majlis dapat dijalankan dengan sempurna,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Abdul Halim berkata ia disusuli dengan majlis kesyukuran oleh umat Islam di Masjid Negeri pada 15 September dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Abdul Halim berkata kemuncak sambutan Hari Malaysia turut menampilkan tradisi tempatan menerusi acara simbolik pemotongan pulut kuning, selain menyaksikan upacara menandatangani Buku Khas Pengisytiharan Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bagi memperingati penyatuan fizikal dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.
Majlis turut akan disemarakkan dengan gabungan persembahan silat, kumpulan hadrah, gendang pampat, tarian singa, teater pembentukan Malaysia, serta konsert dipersembahkan oleh artis tempatan selain pertunjukan bunga api di Kuching Waterfront.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyaksikan siaran langsung sambutan menerusi RTM TV1, TVS, serta liputan khas oleh Bernama.
“Saya yakin rakyat Malaysia menunggu-nunggu untuk sambutan edisi 2026 ini menjadi kenyataan kerana walaupun dalam keadaan cuaca yang mungkin memberi sedikit cabaran, tetapi segala ikhtiar telah pun kita laksanakan.
“Mudah-mudahan dapat berjalan dengan sempurna dengan izin Allah, kita dapat meraikan dalam suasana yang aman dan damai serta semuanya berjaya,” katanya.
Sambutan tahun ini mengekalkan tema Hari Kebangsaan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang digandingkan dengan slogan perpaduan Sarawak “Segulai Sejalai” (Seiring Sejalan). – Bernama




