‘Michiru’ angkat wajah Kuching menerusi lensa AI

Facebook
WhatsApp
DATO Wee Hong Seng bersama Jimsley Lim dan pasukan Isekai Zero Michiru selepas sidang media di MBKS, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Kuching diketengahkan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam animasi pendek Michiru, yang menampilkan pelbagai lokasi ikonik bandar raya ini untuk diperkenalkan kepada penonton global.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata penghasilan Michiru membuktikan teknologi AI bukan sekadar alat baharu, malah boleh dimanfaatkan untuk mengetengahkan bakat tempatan serta memperkenalkan Kuching kepada khalayak antarabangsa.

Michiru merupakan animasi pendek berdurasi 30 minit yang dihasilkan menggunakan teknologi AI, dengan lokasi dan suasana sebenar di sekitar Kuching dijadikan rujukan dalam penghasilannya.

“Antara lokasi yang ditampilkan termasuk jalan lama, pasar, tebingan sungai dan perpustakaan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pengumuman tayangan percuma animasi pendek Michiru di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.

Animasi berkenaan akan menjalani tayangan perdana dunia di Golden Screen Cinema (GSC), Pusat Beli-belah The Spring, Sabtu ini, sebelum ditayangkan secara global menerusi YouTube pada 16 September.

Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Festival Torabera ACG sebagai sebahagian daripada Torabera 4.0 yang berlangsung di The Spring dari 11 hingga 13 September.

Wee berkata Sarawak mempunyai bakat tempatan yang mampu meneroka teknologi baharu dan menghasilkan kandungan kreatif yang berpotensi diketengahkan ke pasaran antarabangsa.

“Kita mempunyai bakat sendiri di sini. Apa yang penting ialah kita menyediakan platform untuk mereka dan, paling penting, memberi sokongan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komuniti Isekai Zero, Jimsley Lim, berkata penghasilan Michiru turut melibatkan pengumpulan bahan visual dari lokasi sebenar di sekitar Kuching sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk animasi menggunakan AI.

POSTER rasmi animasi pendek Michiru yang mengangkat wajah Kuching menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bakal menjalani tayangan perdana dunia di GSC The Spring, Sabtu ini.

“Pasukan produksi mengambil gambar di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini sebagai rujukan, sekali gus memastikan elemen Kuching dapat diterapkan dalam karya berkenaan,” katanya.

Jelasnya, keseluruhan proses produksi Michiru, bermula daripada perancangan dan penulisan skrip sehingga penghasilan animasi, mengambil masa kira-kira enam bulan.

Idea menghasilkan animasi itu turut didorong oleh usaha syarikat untuk memperkenalkan Kuching kepada pengguna mereka di seluruh dunia.

Menurutnya, Isekai Zero mempunyai kira-kira 70,000 pengguna aktif harian, dengan pasaran utama di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Kami mahu seluruh dunia melihat Kuching dan itu antara sebab kami menghasilkan anime ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wee berkata penggunaan AI juga perlu diperkenalkan kepada generasi muda sebagai salah satu cara menggalakkan golongan berkenaan meneroka teknologi terkini secara positif.

Menurutnya, teknologi perlu dimanfaatkan dengan betul, khususnya dalam menghasilkan kandungan yang dapat menarik minat golongan muda dan pada masa yang sama mempromosikan Sarawak.

“Kita perlu mengikuti perkembangan teknologi terkini, tetapi pada masa yang sama perlu ada sesuatu yang boleh menarik minat golongan muda,” katanya.

Sebanyak 550 tiket disediakan untuk dua sesi tayangan Michiru, masing-masing pada 2.00 dan 3.00 petang, Sabtu ini. Tiket percuma boleh diperoleh menerusi Paakuu.

Oleh Adele Rissa