KUALA LUMPUR, 18 Oktober: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan beberapa kawasan di 10 negeri serta dua Wilayah Persekutuan hingga 6.00 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan amaran itu melibatkan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
Di Kedah, kawasan terjejas ialah Baling, Kulim, Bandar Baharu, Padang Terap dan Sik, manakala di Pulau Pinang, amaran melibatkan Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.
Di Perak, amaran meliputi Muallim, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang, Larut, Matang dan Selama serta Kerian.
Di Kelantan, kawasan terjejas ialah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala di Terengganu, amaran melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
Di Pahang, kawasan terjejas ialah Lipis, Cameron Highlands, Raub dan Bentong, sementara di Selangor, amaran melibatkan Gombak, Petaling, Klang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Di Negeri Sembilan, amaran melibatkan Seremban dan Jelebu.
Bagi Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Samarahan, Serian, Sri Aman (Lingga dan Pantu), Betong (Kabong dan Pusa) serta Kuching.
Sementara itu, di Sabah, amaran melibatkan Kudat (Kota Marudu dan Kudat), Pantai Barat dan Pedalaman. – Bernama




