KANOWIT, 28 November: Usaha calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan, Allan Siden Gramong, mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal ketiga bakal diuji menerusi saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal berdepan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Satia Brain, selepas kedua-duanya disahkan bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Casseylia Benet.
Kedua-dua calon tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kanowit pada 8.50 pagi sebelum mengemukakan borang pencalonan masing-masing, dengan Allan menyerahkannya pada 9.05 pagi, manakala Satia pada 9.10 pagi.
Pertandingan dua penjuru itu diumumkan selepas tempoh penamaan calon berakhir pada 10.00 pagi.
Pada PRN Sarawak ke-12, Allan berjaya mempertahankan kerusi Machan dengan majoriti 2,089 undi selepas memperoleh 4,155 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Beliau menewaskan Madang Dimbab daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 2,066 undi, Mohd Fauzi Abdullah @ Joseph Usit (PKR) dengan 1,267 undi, Mary Rita Mathias (PBK) dengan 203 undi dan Ngelayang Unau (ASPIRASI) yang memperoleh 52 undi.
Oleh Tarani Lanting



