BINTULU: Seramai lapan penumpang mengalami detik cemas apabila terperangkap dalam bas yang dihanyutkan oleh arus deras dan berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dalam satu kejadian di Bulatan Samalaju-Bintulu malam Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bergegas ke lokasi selepas menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira jam 8.09 malam.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, kelihatan sebuah bas yang telah dihanyutkan oleh air deras lalu tersadai di tepi jalan.
“Terdapat lapan mangsa termasuk seorang wanita yang terperangkap tidak dapat menyelamatkan diri berada di atas bas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Susulan itu, PKO terus melancarkan operasi menyelamat dengan mengikat tali pada pelampung dan jaket keselamatan bagi menarik mangsa ke tempat selamat.
“Setelah semua mangsa diselamatkan, pasukan kemudian membuat pemantauan bagi memastikan keadaan selamat,” ujar beliau.
Sebelum itu, pada hari yang sama, sebuah bas turut dilaporkan tersadai di tempat sama disebabkan arus deras akibat kejadian banjir.
“Untuk makluman, terdapat sebuah bas telah tergelincir di tempat yang sama pada sebelah petang sebelum itu,” kata Kamarudin.
Bagaimanapun, tambahnya, semua penumpang termasuk pemandu dalam kejadian pertama itu juga berjaya keluar tanpa masalah.
Oleh CAROLYNE UTIH