SPAOH: Aktiviti membuang sampah di belakang rumah seorang penduduk di Kampung Serembang, bertukar cemas selepas dia terserempak dengan seekor ular sawa batik sepanjang sekitar 4.9 meter, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh menerima panggilan daripada orang awam pada 6.42 pagi memaklumkan mengenai penemuan reptilia berkenaan.
Menurutnya, pengadu, Mohd Firdaus, memohon bantuan APM selepas melihat kelibat ular ketika hendak membuang sampah di kawasan belakang rumahnya.
“Anggota APM terus bergerak ke lokasi pada 6.44 pagi dan tiba pada 6.58 pagi, dengan jarak perjalanan sehala sekitar 13 kilometer.
“Selepas hampir 10 minit pencarian dilakukan, skuad bertugas berjaya menjumpai seekor ular sawa batik sepanjang sekitar 4.9 meter yang berada di belakang rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan berhubung operasi berkenaan.
Beliau berkata, reptilia terbabit kemudiannya berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit sebelum dimasukkan ke dalam kotak haiwan.
Operasi yang bermula pada 6.42 pagi itu selesai sepenuhnya sekitar 7.15 pagi.
Seramai empat anggota APM terlibat dalam operasi berkenaan, diketuai Sarjan Kamarrul Badarudin bersama Prebet Junai Abd Samat, Prebet Noramadanie Norizam dan Prebet Zamriza Alba.
Pasukan turut menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda serta dilengkapi peralatan keselamatan termasuk helmet, penyepit ular, penjerut, sarung tangan dan kotak haiwan.
Penemuan ular bersaiz besar itu turut mengingatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan semak, belakang rumah atau lokasi yang berpotensi menjadi habitat reptilia, terutama selepas melihat tanda-tanda kehadiran ular.
Oleh Adi Safarman





