AI perlu dimanfaatkan semua lapisan masyarakat – Sebastian Ting

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (duduk empat dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama peserta Bengkel Asas AI untuk Komuniti Miri di TEGAS Digital Innovation Hub Miri, hari ini.

MIRI, 21 November: Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan profesional atau mereka yang mempunyai latar belakang teknologi, bagi memastikan tiada komuniti ketinggalan dalam arus pembangunan digital.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kemahiran AI perlu diperluas kepada pelajar, golongan belia, ibu bapa, peniaga kecil dan warga emas.

Menurutnya, pembangunan bakat dalam bidang AI merupakan antara empat tonggak utama Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan (AI) Sarawak 2026-2030.

“Bakat bukan hanya terdapat di universiti atau syarikat besar, tetapi juga di sekolah, rumah, kedai kecil dan kampung.

“Setiap orang perlu diberikan peluang untuk mempelajari teknologi ini supaya tiada sesiapa yang ketinggalan,” katanya ketika menyampaikan  ucapan penutup Bengkel Asas AI untuk Komuniti Miri di TEGAS Digital Innovation Hub Miri, hari ini.

Beliau berkata, bengkel percuma dan mesra pemula itu membuktikan bahawa pembelajaran teknologi boleh diakses oleh semua peringkat umur tanpa mengira latar belakang.

Katanya, penguasaan AI mampu membantu golongan muda membina kemahiran untuk pekerjaan masa depan, manakala ibu bapa dapat memahami teknologi yang digunakan anak-anak mereka.

Bagi peniaga kecil pula, teknologi itu boleh membantu meningkatkan produktiviti serta mengurus masa dan sumber dengan lebih berkesan.

Sebastian berkata, usaha memperluas akses digital turut disokong menerusi projek SMART yang menyasarkan pembinaan 600 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak bagi merapatkan jurang komunikasi antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dianjurkan bagi memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital.

Katanya, komuniti yang mempunyai peluang pembelajaran sama rata akan lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi pada masa depan.

Oleh Liong Chai Ling

Lau santuni 13 keluarga di Paradom

SIBU, 21 November: Keprihatinan terhadap kebajikan jiran dan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan mencerminkan semangat perpaduan serta sikap saling mengambil