MIRI, 21 November: Kerajaan Sarawak terus mempergiat pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan bagi meringankan beban rakyat, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, antara inisiatif yang disediakan termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dengan kadar bantuan sehingga RM1,100 bagi isi rumah, RM600 untuk warga emas dan RM375 bagi individu bujang yang layak.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus kepada pengguna domestik serta diskaun sewa 50 peratus bagi pasar, gerai dan premis perniagaan tertentu di bawah pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Rukun Tetangga Daerah Miri dan pembukaan gerai jualan produk, makanan dan minuman di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Lee menyambut baik penganjuran gerai jualan berkenaan yang memberi peluang kepada peniaga kecil serta usahawan tempatan mempromosikan produk mereka.
Katanya, inisiatif sedemikian bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan peniaga, malah menggalakkan masyarakat menyokong perniagaan tempatan dan merancakkan ekonomi di peringkat komuniti.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dengan memberi lebih banyak peluang kepada usahawan kecil, golongan wanita dan belia untuk mengambil bahagian.
Oleh Liong Chai Ling



