Pesta Badudun sasar 6,000 pengunjung, jana pendapatan RM500,000

Facebook
WhatsApp
TURUN PADANG... Datuk Dr Abdul Rahman Ismail meninjau persiapan Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di Kampung Mengatai hari ini, termasuk aspek keselamatan bersama pihak PDRM.

LIMBANG, 20 November: Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di Kampung Mengatai, Limbang pada 4 hingga 6 Disember ini menyasarkan kehadiran antara 5,000 hingga 6,000 pengunjung, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat dengan sasaran pendapatan melebihi RM500,000.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran pesta anjuran Persatuan Melayu Limbang (PML) itu dijangka menjadi tarikan kepada pengunjung menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan.

Menurutnya, persiapan bagi menjayakan pesta berkenaan turut melibatkan peruntukan hampir RM700,000 untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur di Kampung Mengatai.

Katanya, kerja-kerja naik taraf itu merangkumi pembinaan pentas utama, jalan simen, penambahbaikan padang serta penyediaan kemudahan lain bagi memastikan kelancaran penganjuran pesta.

“Bagi penganjuran Pesta Badudun dan Lumba Kerbau anjuran Persatuan Melayu Limbang (PML), insya-Allah, ia dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak dan akan berlangsung di Kampung Mengatai.

“Kampung Mengatai juga bertuah kerana kemudahan yang disediakan ini bukan sahaja digunakan untuk pesta tersebut, malah boleh dimanfaatkan bagi penganjuran pelbagai program lain pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di Kampung Mengatai, hari ini.

Pesta berkenaan dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir ialah Pengerusi PML, Mohamad Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot.

Oleh Adeng Edrus