TANJUNG MANIS: Misi dan visi Agrobank Tanjung Manis bertujuan membantu masyarakat tempatan menerusi pembayaran mikro dan deposit.
Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi berkata, Agrobank memberi sokongan dalam bentuk pinjaman mikro berjumlah RM1.6 juta kepada usahawan tempatan.
“Pada hari ini juga kita memberikan pembiayaan zakat kepada 100 orang asnaf yang merupakan satu tanggungjawab sosial korporat Agrobank kepada masyarakat tempatan.
“Kita juga memberikan sumbangan takaful kepada usahawan bernilai RM2 juta,” katanya ketika ditemui media pada majlis perasmian Agrobank Cawangan Tanjung Manis dan pelancaran program komuniti tanpa tunai Tanjung Manis bertempat di Dewan Masyarakat Tanjung Manis.
Tambahnya, program komuniti tanpa tunai anjuran Agrobank melibatkan 200 pelanggan terdiri daripada para usahawan tempatan.
“Mereka telah membuka akaun bank dengan kita (Agrobank) dan ini merupakan salah satu inisiatif Agrobank untuk bersama kerajaan negeri membangunkan ekonomi digital dan juga memberikan kesedaran kepada usahawan membuat penyimpanan dan rekod simpanan yang lebih sistematik melibatkan perniagaan mereka.
“Kita telah menjalankan beberapa inisiatif semenjak setahun lepas dengan kerajaan negeri pihak berkuasa tempatan yang sebelum ini kita buat di Daro melibatkan juga 100 orang penduduk tempatan dan peniaga.
“Insya-Allah kita akan kembangkan lagi di beberapa tempat termasuk di Lawas dan Limbang,” katanya.
Katanya, ia merupakan tanggungjawab Agrobank bagi memastikan pendidikan yang lebih baik kepada usahawan dan pada masa sama memberikan perniagaan mikro kepada mereka.
Oleh Earl Anek