BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Bintulu baru-baru ini, berhubung penyebaran fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya di media sosial.
Tegasnya, laporan tersebut dibuat bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas, lebih-lebih lagi tuduhan sedemikian muncul ketika beliau dan pasukannya sedang giat membantu mangsa banjir di Bintulu.
“Walaupun berdepan tohmahan tidak berasas, saya dan pasukan Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu tetap komited untuk membantu komuniti.
“Saya yakin pihak berkuasa akan menyiasat perkara ini secara teliti dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat DUN Tanjong Batu, Bintulu Sentral, hari ini.
Beliau turut menggesa masyarakat agar menghentikan budaya fitnah serta serangan siber terutamanya ketika krisis seperti banjir yang memerlukan kesepaduan semua pihak.
“Ini bukan masa untuk menyebarkan tuduhan tidak berasas.
“Saya menyeru semua pihak untuk bersatu dan membantu mereka yang memerlukan.
“Kami juga mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan di Pusat Khidmat Tanjong Batu bagi mempercepat usaha bantuan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah tampil membantu mangsa banjir dan menegaskan bahawa sokongan masyarakat amat penting dalam situasi mencabar ini.
Johnny Pang berharap insiden fitnah itu menjadi pengajaran kepada masyarakat agar lebih bertanggungjawab, selain mengekalkan solidariti demi kesejahteraan bersama.
Oleh Carolyne Utih