KABONG: Agensi yang dipertanggungjawab melaksanakan projek pemulihan koridor tanah susur di Tebingan Sungai Seblak dekat Kampung Sungai Benang, Kabong diminta menyegerakan projek itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata ini kerana keseluruhan kos projek yang diperuntukkan sebanyak RM21 juta keseluruhan telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak bagi tujuan itu.
“Sehingga kini, projek yang sepatutnya sudah bermula, namun saya telah dimaklumkan projek ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk walaupun pihak konsultan telah dilantik pada 2022.
“Saya berasa amat kecewa kerana sehingga kini, tiada sebarang tindakan daripada pihak agensi untuk mengelakkan koridor ini bertahan walaupun seringkali membuat aduan bertulis kepada agensi yang dipertanggungjawabkan itu,” katanya semasa melakukan lawatan di lokasi berkenaan semalam.
Chee Kadir berkata pelaksanaan projek pemulihan Tebingan Sungai Seblak ini begitu penting terutamanya kepada pekebun-pekebun sekitar selain melibatkan penempatan penduduk di beberapa kampung.
Untuk rekod, masalah hakisan tebing sungai di Kampung Sungai Benang Kabong ini telah mula dilaporkan pada Januari 2021 dan seterusnya projek baik pulih Koridor Sungai Seblak di Kampung Sungai Benang Kabong telah diluluskan dengan kos projek RM15 juta pada 31 Mei 2021.
Seterusnya, kerja kecemasan dan kerja perlindungan Sungai Benang Kabong telah dimulakan pada 18 April 2022 dan siap pada 15 Ogos 2022 dengan kos RM299,700 yang dilaksanakan oleh Syarikat Fatwa Pemborong Bumiputera.
Setelah enam kali mesyuarat teknikal diadakan bersama pihak agensi dan pihak konsultan pada Julai tahun ini, projek ini mendapat kelulusan kos tambahan sebanyak RM6 juta menjadikan kos keseluruhan projek ini sebanyak RM21 juta.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Lembangan Sungai dan Zon Pantai, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Sarawak, Ir Noor Salmah Reduan; Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Pertanian dan Infrastruktur Luar Bandar JPS Sarawak; Ir Faizul Abdul Wahab; Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee dan Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Betong, Rollin Jenta Gem.
Oleh ADI SAFARMAN