TAMIN, 26 Oktober: Christopher Gira Sambang merakamkan penghargaan kepada rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang dua penggal beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Beliau berkata, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, mandat sebagai wakil rakyat kini dikembalikan kepada rakyat untuk menilai rekod perkhidmatannya serta menentukan pilihan bagi penggal seterusnya.
Menurutnya, hak rakyat untuk membuat pilihan perlu dihormati, manakala segala usaha sepanjang dua penggal lalu sentiasa berpaksikan tanggungjawab memperjuangkan keperluan rakyat, selain membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada kawasan berkenaan.
“Terima kasih, rakyat DUN Tamin. Amanah dan kepercayaan yang diberikan sepanjang dua penggal ini sentiasa saya hargai,” katanya dalam satu kenyataan.
Gira mula dipilih sebagai wakil rakyat Tamin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada 2016 sebagai calon Barisan Nasional (BN), sekali gus memulakan khidmatnya di kawasan berkenaan.
Pada pilihan raya itu, beliau menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Simon Joseph dan calon Bebas, Dr Ali Puji, dengan majoriti 2,085 undi.
Beliau kemudian berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021 dengan majoriti lebih besar, iaitu 3,588 undi, selepas menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Joseph Entulu Belaun.
Keputusan pilihan raya pada 2021 turut menyaksikan Gira memenangi 46 daripada 47 peti undi yang dipertandingkan di kawasan itu, manakala peratusan keluar mengundi ketika itu ialah 72.8 peratus daripada keseluruhan 16,681 pengundi berdaftar.
Bagaimanapun, jumlah pengundi di DUN Tamin kini meningkat kepada 25,225 orang, menjadikan mandat rakyat sebagai penentu penting dalam menentukan hala tuju kawasan itu bagi penggal akan datang.
Gira merupakan lulusan Kejuruteraan Awam dari University of Glasgow, United Kingdom.
Oleh Tarani Lanting




