Kong bantu ringankan beban keluarga menerusi agihan kit persekolahan

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong Feng Nian menyampaikan kit kembali ke sekolah kepada murid dalam program tahunan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga di Kuching.

KUCHING, 26 Oktober: Usaha membantu keluarga berdepan peningkatan kos sara hidup diteruskan menerusi pengagihan kit kembali ke sekolah kepada murid dua sekolah rendah di Kuching oleh Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, pagi tadi.

Program tahunan itu menyasarkan murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 4½ dan SJK Chung Hua Sungai Lubak, dengan setiap murid yang dikenal pasti menerima beg sekolah, botol air dan alat tulis sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan akan datang.

Kong berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangkan sebahagian perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan asas persekolahan anak-anak, terutama ketika kos membesarkan anak dan memenuhi keperluan pendidikan terus memberi tekanan kepada kewangan keluarga.

“Walaupun kit persekolahan ini mungkin dilihat sebagai sumbangan kecil, kami berharap ia dapat membantu mengurangkan sebahagian daripada perbelanjaan ibu bapa, selain memastikan anak-anak mereka mempunyai kelengkapan asas untuk ke sekolah,” katanya.

MICHAEL Kong Feng Nian bersama murid-murid SJK Chung Hua Batu 4½ dan SJK Chung Hua Sungai Lubak pada program agihan kit kembali ke sekolah di Kuching.

Menurutnya, pengagihan dipercepatkan selepas murid selesai menduduki peperiksaan dan menjelang cuti sekolah pada Disember, selain mengambil kira keadaan jerebu yang berpotensi menjejaskan takwim persekolahan.

Beliau berkata, program itu bukan sekadar menyediakan keperluan persekolahan, malah bertujuan memberikan galakan kepada murid supaya terus bersemangat dalam pembelajaran, berusaha bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita.

“Setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar dan mengembangkan potensi diri tanpa mengira keadaan kewangan keluarga mereka,” katanya.

Kong berkata, inisiatif tahunan itu akan diteruskan bagi menyokong murid dan keluarga dalam komuniti setempat.

Oleh Connie Chieng