ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan rakyat untuk sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi ‘musuh yang tidak nampak’ iaitu Covid-19.
Menurutnya, rakyat harus mengadaptasi cara hidup baharu seperti sentiasa menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka dan hidung serta sentiasa mencuci tangan menggunakan cecair pencuci tangan dan sabun bagi menjaga keselamatan masing-masing.
“Covid-19 ini tidak nampak, ia musuh kita namun kita tidak nampak, kalau nampak senanglah kita menembaknya, ini tidak nampak, maka susahlah,” katanya berseloroh.
Abang Johari berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya Gawai 2020 kepada Barisan Hadapan Covid -19 bertempat di Wisma Bapa Malaysia.
“Walaupun pada hemat saya, statistik telah menunjukkan bahawa negeri Sarawak telah sedikit sebanyak mendapat kejayaan dalam kita menurunkan jumlah mangsa jangkitan Covid -19 melalui pelbagai usaha dan pendekatan yang dilakukan khususnya di kawasan ‘hotspot’.
“Namun, kita masih perlu berjaga-jaga sehingga dan berdoa semoga vaksin virus ini dapat ditemui dan saya difahamkan banyak negara di dunia sedang membuat kajian vaksin ini, namun ujian klinikalnya mengambil masa untuk mewujudkan vaksin,” katanya.
Mengulas mengenai majlis tersebut, Abang Johari menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada para barisan hadapan di negeri yang telah bertugas mengahadapi risiko dalam memerangi Covid -19.
“Dalam keadaan sedemikian, kita menghadapi satu lagi acara yang sangat dekat dengan hati dan diraikan orang Sarawak iaitu perayaan Hari Gawai dan Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Namun, malangnya tahun ini berubah sedikit, kita tidak dapat meraikannya dengan cara lama, dan perlu disambut dengan cara baharu.
“Keadaan ini sudah tentu sangat mencabar dan berlainan daripada dalam keadaan selalu terutamanya untuk para barisan hadapan yang terpaksa bertugas pada musim perayaan.
“Terima kasih saya ucapkan dan juga kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak atas usaha mengagihkan sumbangan kuih Raya Gawai ini,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak agensi serta syarikat swasta yang telah menyumbang pelbagai bentuk bantuan kepada Kerajaan Sarawak dalam usaha memerangi Covid-19.
Abang Johari turut menegaskan bahawa beliau dan barisan Kabinet Sarawak akan cuba melihat bagaimana hendak bermula semula cara-cara perniagaan dan kegiatan ekonomi bagi membolehkan kehidupan rakyat hidup seperti sedia kala.
Turut hadir Menteri Kebajikan, KesejahteraanKomuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.