Ada yang cemburu kerana Sarawak terlalu ke hadapan – Abang Johari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MARUDI: Kejayaan Sarawak melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif pembangunan yang disifatkan mendahului banyak tempat lain mula menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan sesetengah pihak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Sarawak kini berada di landasan yang kukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti pendidikan tinggi percuma, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, perdagangan karbon, ekonomi digital serta pengambilalihan aset strategik negeri.

“Ada orang juga cemburu dengan kita kerana mereka kata Sarawak terlalu ke hadapan.

“Sekarang kita sudah ada stesen televisyen sendiri. Kita sudah ada ekonomi berasaskan tenaga boleh diperbaharui, perdagangan karbon dan teknologi ekonomi digital. Malaya (Semenanjung) belum ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Regata Baram 2026 di Dataran Marudi, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak turut mencatat satu lagi pencapaian apabila Pelabuhan Bintulu kini berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri, selain merancang pembangunan pelabuhan laut di Miri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi di wilayah utara Sarawak.

Menurut beliau, segala pencapaian itu adalah hasil perpaduan rakyat pelbagai kaum serta keberanian kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan dasar yang berpandangan jauh demi kepentingan negeri.

Pada masa sama, beliau berkata, walaupun Sarawak telah diiktiraf sebagai ekonomi berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia sejak 2022, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.

“Saya belum berpuas hati kerana ukuran kejayaan bukan hanya pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi bagaimana pendapatan setiap keluarga dapat dipertingkatkan.

“Sebab itu kita melaksanakan pendidikan tinggi percuma dan memberi penekanan kepada bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu supaya anak Sarawak mampu bersaing dalam ekonomi masa depan,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat