Ace Didik bantu ringankan beban kewangan pelajar Jepak

Facebook
WhatsApp
ISKANDAR Turkee menyampaikan sumbangan pendidikan kepada seorang pelajar pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ace Didik di Pusat Khidmat Rakyat DUN Jepak, Bintulu, hari ini.

BINTULU: Sumbangan pendidikan menerusi Program Ace Didik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak membantu meringankan beban kewangan pelajar dalam memenuhi keperluan sepanjang tempoh pengajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, bantuan seumpama itu dapat digunakan untuk membeli keperluan pembelajaran serta menyediakan wang saku kepada pelajar ketika melanjutkan pengajian.

Menurutnya, sokongan berkenaan penting bagi membolehkan pelajar meneruskan pengajian dalam keadaan lebih selesa tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“Saya berharap dengan adanya sumbangan ini, anak-anak dapat melanjutkan pelajaran dalam keadaan selesa dan mencukupi dari segi keperluan kewangan mereka,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan tersebut di Pusat Khidmat Rakyat Jepak di sini, hari ini.

ISKANDAR Turkee bersama penerima sumbangan pendidikan pada majlis Penyerahan Sumbangan Ace Didik di Pusat Khidmat Rakyat DUN Jepak, Bintulu, hari ini.

Menurutnya, seramai 52 pelajar menerima sumbangan berkenaan bagi tahun ini setakat Ogos, manakala 162 pelajar menerima bantuan sama pada 2025 dan 62 orang pada 2024.

Iskandar berkata, bantuan pendidikan itu bukan bersifat sekali bayar kerana pelajar yang masih memerlukan sokongan pada semester berikutnya boleh mendapatkan bantuan daripada pusat khidmat.

Dalam pada itu, beliau berkata, perhatian turut diberikan kepada aspek kebajikan penduduk, khususnya mereka yang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan bantuan.

Katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta masyarakat setempat diminta mengambil perhatian terhadap keadaan penduduk di kawasan masing-masing dan memaklumkan kes yang memerlukan bantuan kepada Pusat Khidmat Rakyat DUN Jepak.

“Bukan sahaja pendidikan, malah aspek kebajikan juga kami bantu. 

“Saya mahu ketua kaum dan masyarakat mengambil berat serta memaklumkan kepada pusat khidmat supaya kita dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata, antara kes yang diberi perhatian termasuk penduduk yang terlantar sakit serta mereka yang menghidap penyakit serius seperti kanser dan memerlukan sedikit bantuan kewangan.

Iskandar berkata, walaupun bantuan yang diberikan tidak besar, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka, selain memastikan golongan yang memerlukan tidak terlepas daripada perhatian.

Oleh Carolyne Utih