TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Manis telah melaksanakan Acara Perhimpunan Bulanan bersama Pengarah Zon dengan penuh jayanya.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim dalam ucapannya di perhimpunan tersebut
mengingatkan bahawa setiap hari Khamis minggu keempat pada setiap bulan diisytiharkan sebagai Hari Kesedaran EKSA bagi setiap warganya.
“Maka dengan itu, semua pegawai dan kakitangan diwajibkan membuat pengisian Borang Kaji Selidik EKSA yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Latihan yang telah dilantik.
“Perhimpunan bulanan ini amat penting bagi memastikan setiap pegawai dan kakitangannya sentiasa mengamalkan tahap disiplin diri yang tinggi dan mampu berdaya saing demi mengharumkan nama agensi ini di mata masyarakat umum,” katanya.
Jelasnya, didalam usaha mengekang dan memerangi penularan Covid-19 dari terus merebak, pegawai dan kakitangannya telah diamanahkan agar sentiasa mengamalkan amalan norma baharu dan mematuhi segala garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi memastikan setiap komuniti maritim dan nelayan yang menggunakan jalan laut sentiasa berada dalam keadaan sihat di sepanjang pelayaran mereka.
“Ujian saringan suhu badan juga harus dipratikkan kepada setiap mereka agar amalan ini menjadi kebiasaan baharu dalam prosedur rutin pemeriksaan vesel.
“Usaha yang berterusan ini amat penting dalam membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 di kalangan masyarakat,” ujarnya.
Oleh Earl Anek