Abdul Rahman terus dekati rakyat, gerak kerja tidak tunggu musim PRN

Facebook
WhatsApp
DATUK Abdul Rahman Junaidi ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Persada Majma di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 29 Oktober: Gerak kerja mendekati masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dilaksanakan secara berterusan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, sekali gus mencerminkan komitmen khidmat masyarakat yang tidak hanya tertumpu ketika musim pilihan raya.

Penyandang kerusi DUN Pantai Damai, Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, pelbagai usaha mendekati penduduk terus digerakkan sepanjang tempoh berkenaan menerusi aktiviti parti, kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelaksanaan program yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Agama) itu, usaha berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk sosioekonomi, bantuan kebajikan, pendidikan serta aktiviti kerohanian dan keagamaan.

Beliau berkata, pendekatan itu memastikan hubungan dengan masyarakat terus dipelihara, selain membolehkan pelbagai keperluan penduduk diberi perhatian secara berterusan.

“Dari segi pelbagai aspek aktiviti yang kita laksanakan, sama ada melibatkan sosioekonomi masyarakat, bantuan kebajikan, pendidikan, kerohanian dan keagamaan, semuanya kita laksanakan sepanjang masa.

“Kerja kita bersama masyarakat sentiasa berjalan sejak pilihan raya lalu pada 2021 sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan di Persada Majma di sini, hari ini. 

Mengulas persediaan menghadapi PRN Sarawak ke-13, Abdul Rahman berkata, beliau menyerahkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk menentukan calon yang bakal bertanding bagi kerusi berkenaan.

Katanya, beliau menghormati keputusan kepimpinan parti dan akan akur terhadap sebarang ketetapan yang dibuat berhubung calon yang akan mewakili PBB pada pilihan raya akan datang.

“Kita memberikan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Premier selaku Presiden parti untuk menentukan calon-calon yang akan bertanding.

“Jadi, kita akur kepada perkara ini dan menunggu keputusan yang akan disampaikan oleh beliau,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan pihaknya ketika ini kekal kepada usaha mendekati masyarakat dan meneruskan tanggungjawab di kawasan berkenaan, selaras dengan pendekatan khidmat yang dilaksanakan sepanjang tempoh selepas PRN 2021.

Pada PRN Sarawak 2021, Datuk Abdul Rahman Junaidi berjaya mempertahankan kerusi DUN N.4 Pantai Damai dengan memperoleh 10,699 undi, bersamaan 82.2 peratus daripada keseluruhan undi, sekali gus mencatat majoriti 8,381 undi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mahmud Sabli, yang memperoleh 2,318 undi.

Oleh Shahrul