Konsert amal Illuminare satukan 226 penggiat seni demi pesakit paliatif

Facebook
WhatsApp
PERSEMBAHAN koir dan orkestra menjadi antara pengisian utama Konsert Amal Krismas Illuminare 2026 yang menghimpunkan 226 penggiat seni bagi mengumpul dana untuk menyokong perkhidmatan penjagaan paliatif di Sarawak, di Kuching, hari ini.

KUCHING, 29 Nov: Seramai 226 penggiat seni daripada pelbagai latar belakang bergabung menerusi Konsert Amal Krismas Illuminare 2026 bagi mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan paliatif di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, penglibatan masyarakat pelbagai kaum dalam menjayakan konsert berkenaan mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang menjadi kekuatan Sarawak.

Beliau berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum, termasuk kaum Cina, Dayak dan Melayu untuk bersama-sama meraikan musim Krismas memperlihatkan keharmonian yang wajar terus dipelihara.

“Ini Sarawak. Inilah semangat Sarawak yang terbaik apabila masyarakat pelbagai kaum bersama-sama meraikan musim penuh kegembiraan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada konsert berkenaan di sebuah hotel di Kuching, hari ini. 

CLAUDIA Mas Peter menyampaikan persembahan solo pada Konsert Amal Krismas Illuminare 2026 di Kuching, hari ini.

Menurutnya, usaha menyokong perkhidmatan penjagaan paliatif bukan hanya terletak pada bahu kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk pertubuhan kebajikan, sukarelawan, sektor swasta dan masyarakat.

Konsert anjuran Kuching Choral Society dan Kuching Wind Symphony itu menghimpunkan gabungan pemuzik profesional dan pelajar sekolah menerusi persembahan koir serta orkestra yang dibentuk khas untuk acara berkenaan.

Antara tarikan utama konsert ialah persembahan karya Illuminare ciptaan komposer Amerika Syarikat, Elaine Hagenberg, yang disenaraikan sebagai persembahan perdana di Malaysia menerusi Illuminare International Performance Listing.

PERSEMBAHAN solo Jeffrey Tang pada Konsert Amal Krismas Illuminare 2026 di Kuching, hari ini.

Karya berdurasi kira-kira 24 minit itu menampilkan lima pergerakan muzik yang membawa pendengar melalui perjalanan daripada kegelapan dan ketidakpastian kepada harapan, ketenangan serta sinar baharu.

Keseluruhan hasil kutipan konsert itu disalurkan kepada tiga organisasi yang menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif dan sokongan kepada pesakit, iaitu Two Tree Lodge Hospice Kuching, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia Cawangan Sarawak dan Persatuan Kuching Life Care yang mengendalikan Pusat Jagaan Hospis dan Paliatif Kuching Life Care.

Pengerusi penganjur Benedict JC Lo berkata, penganjuran konsert itu bertujuan menyokong perkhidmatan penjagaan paliatif di Kuching, selain menggalakkan golongan muda menggunakan bakat seni untuk berbakti kepada masyarakat.

Konsert berkenaan meneruskan tradisi penganjuran konsert amal Krismas yang bermula sejak 2019, dengan edisi terdahulu turut menyokong Rumah Persaraan Home of Peace dan organisasi penjagaan hospis di Kuching.

Oleh Adele Rissa