KEMBOJA: Lawatan kerja Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Kemboja mampu membentuk kerjasama rapat di antara negara itu dengan Malaysia khususnya Sarawak dalam mewujudkan satu matlamat jitu kedua-dua negara.
Abang Johari yang juga Presiden Majlis Dakwah Islam Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), dijadual tiba di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung RISEAP ke-20, esok.
Setiausaha Kehormat RISEAP, Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata, RISEAP terus memainkan peranan membentuk umat Islam yang cemerlang dengan mewujudkan satu tujuan hidup yang cekal dan berjaya.
“Jadi tujuan utama Premier Sarawak untuk datang ke Kemboja ialah untuk melihat dengan sendirinya bagaimana kehidupan 700,000 umat Islam yang telah lama bertapak di negara ini,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Mohamad Marzuki berkata tanggungjawab RISEAP adalah untuk bekerjasama dengan masyarakat Islam di negara anggota. Kini RISEAP mempunyai 24 negara anggota dan dua negara bersekutu.
“Prinsip RISEAP adalah untuk menjadikan umat Islam yang cemerlang dan terbilang khususnya dalam bidang kewangan di mana kita bekerjasama untuk memberi mereka kesenangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, RISEAP dijangka berkunjung ke Korea Selatan yang mempunyai penduduk minoriti Islam pada Julai atau Ogos tahun depan selepas New Zealand sebelum ini.
Siri lawatan kerja Abang Johari ke Kemboja turut dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja sejurus selepas Majlis Perhimpunan Agung RISEAP Ke-20. -EDISI UKAS