
KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Perkim Kebangsaan Kali ke-64 yang berlangsung di sini, semalam.
Pelantikan beliau bagi menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memegang jawatan tersebut sejak 2006.
Dalam mesyuarat yang sama, Tun Dr. Mahathir turut dilantik sebagai Penasihat Khas Perkim.
Menerusi ucapan balasnya pada Upacara Khas Penyerahan Kepimpinan Baharu Perkim, Abang Johari merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta berikrar untuk memikul tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.
Beliau turut mengakui bahawa kepimpinan Tun Dr. Mahathir sebelum ini telah membawa Perkim ke tahap yang membanggakan dan menjadi teladan dalam perjuangan dakwah serta kebajikan.
“Meneruskan legasi yang ditinggalkan ini bukan satu tugas yang mudah namun dengan sokongan padu daripada semua peringkat, saya yakin kita mampu memperkasakan lagi peranan Perkim dalam landskap dakwah moden,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran semasa, Abang Johari menekankan keperluan untuk Perkim kekal lantang dan aktif dalam memperjuangkan nasib umat Islam, khususnya dalam isu global seperti konflik yang berlaku di Gaza.
“Pada hemat saya, Perkim harus kekal vokal dan aktif dalam menyatakan pendirian serta membela nasib saudara seagama melalui pendekatan berkesan dan berhemah,” ujar beliau.
Dalam konteks tempatan pula, beliau menekankan pentingnya pendekatan yang lebih inklusif dan berasaskan kasih sayang, pendidikan serta kesedaran berterusan dalam usaha mendekati masyarakat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, Naib Yang Dipertua Perkim, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim dan ahli-ahli majlis tertinggi Perkim. – UKAS