SEBUYAU: Projek bekalan air yang menelan kos RM500 juta dan dijangka siap pada tahun 2021 akan membolehkan penduduk tempatan dari Kota Samarahan ke Sebuyau menikmati bekalan air bersih 24 jam tanpa gangguan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek yang sedang giat dilaksanakan dengan pemasangan paip utama dari Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan hingga ke Sebuyau itu akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk sekitar.
“Projek ini sangat penting untuk penduduk kawasan Samarahan dan kita selalu menerima aduan bahawa bekalan air tidak begitu baik di kawasan Simunjan sehingga ke seberang Sungai Batang Samarahan temasuk Sebangan dan Sebuyau.
“Semasa saya mengumumkan tiga tahun lepas, adalah sesetengah pihak berkata ‘Abang Jo tok air lior jak’. Tetapi hari ini saya tidak memberikan air liur sahaja, saya memberikan air sebenar (bekalan air bersih),” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran dan Lawatan Kerja Projek Bekalan Air di Bahagian Samarahan bertempat di Feri Ramp Lama, Seruyuk, Sebuyau, semalam.
Menurutnya, semua projek rakyat haruslah mempunyai rancangan dari sudut kewangan dan bekalan infrastruktur yang mencukupi bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan selain merangsangkan pembangunan ekonomi tempatan.
“Sehubungan itu saya memberikan peruntukan RM2.8 bilion kepada Kementerian Utiliti untuk membekalkan air di seluruh Sarawak dalam tempoh tiga tahun.
“Bagi projek ini, ia memerlukan peruntukan RM500 juta untuk kita menaikan paip di kawasan ini dan juga saluran dari Kuching terus ke kawasan Simunjan, Gedong, Sebangan hingga ke Sebuyau,” jelasnya.
Ujarnya, semasa beliau menggantikan Allahyarham Tok Nan, beliau difahamkan air adalah masalah utama di kawasan pesisir tersebut dan beliau telah melakukan tinjuan dan mengenalpasti beberapa punca utama dan telah merangka pelan jangka panjang dengan mewujudkan Sistem Grid Bekalan Air yang lebih bersepadu.
“Kerajaan Sarawak memahami bahawa kita mesti memperjuangkan hak orang-orang kampung dengan menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap terutamanya air kerana ia penting dalam keperluan hidup seharian,” tambahnya.
Oleh Zarina Abdullah