BETONG: Selepas tiga tahun menerajui pucuk pimpinan negeri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menunjukkan kebolehan, integriti, keberanian, keprihatinan serta inklusiviti yang adil kepada semua.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Yang DiPertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Abang Jo merupakan seorang yang tegas dan berani sekali gus terbukti apabila beliau mengambil langkah mengembalikan hak Sarawak yang telah terhakis.
“Ketegasan beliau (Abang Jo) nampak berhasil apabila Petronas bersetuju membayar cukai jualan SST RM2.9 bilion. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin untuk semua rakyat ‘a leader for all races in Sarawak’ ”.
“Dasar inklusivitinya jelas apabila kita melihat Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak menjaga hal ehwal orang beragama Islam dan dalam masa sama kita ada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk penganut agama lain,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen Khas Parti PBB Sarawak Zon Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen PBB Betong, pagi semalam.
Katanya, kedua-dua perkara tersebut sentiasa dibantu sebagai usaha untuk memastikan pembangunan adalah untuk semua agama tiada yang ketinggalan.
“Kita juga melihat bagaimana pertubuhan-pertubuhan pelbagai kaum turut dibantu. Beliau amat bermurah hati menghulurkan bantuan kewangan dan tapak tanah kepada UNIFOR, Yayasan Kebudayaan Melayu, FORUM (untuk kaum Orang Ulu), Yayasan Kebudayaan Dayak (Dayak Cultural Foundation), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Dewan Perniagaan dan Industri Dayak (DCCI).
“Semua ini dilakukan bagi menjaga dan memperkuatkan keamanan dan keharmonian semua kaum dan agama. Apabila Abang Jo mewujudkan kawasan pembangunan, maka ia amatlah jelas mencerminkan dasar inklusiviti beliau,” ujarnya.
Katanya lagi, antara kawasan pembangunan yang diwujudkan ialah URDA atau Upper Rejang Development Area bagi kawasan di hulu Sungai Rejang yang mana kebanyakkan penduduk adalah kaum Dayak.
“Begitu juga dengan HDA (Highland Development Area) bagi kawasan tanah tinggi di Baram, Bario, Telang Usan yang merupakan Kawasan Orang Ulu. SADA (Sri Aman development Agency) untuk kawasan Lingga, Batang Sadong, Batang Lupar dan Lubok Antu pula jelas memberi manfaat kepada orang Iban dan Melayu.
“Kita juga ada IRSDA (Integrated Regional Samarahan Development Area) untuk kawasan Samarahan Development Agency yang meliputi Samarahan, Simunjan dan Sebuyau yang kebanyakkannya didiami orang Melayu,” jelasnya.
Selain itu, jelas Uggah lagi kawasan pembangunan yang diwujudkan juga ialah NRDA (Northern Region Development Agency) untuk kawasan Limbang, Lawas Bakelalan, Long Semadoh yang didiami pelbagai kaum, Orang Melayu, Kelabit, Lun Bawang.
“Di Betong ini, kita ada Sadok Agropolitan. Kita juga ada kawasan ‘Food Basket Betong-Mukah’ yang akan memberi manfaat kepada semua kaum sekali gus menunjukkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah meminggirkan rakyat di luar bandar. Ini jelas bila kita melihat kembali dalam bajet negeri dari 2017 hingga ke 2020 yang menyaksikan peruntukan yang besar diagihkan bagi membawa banyak infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, projek elektrik dan air serta kemudahan asas yang lain untuk kawasan di luar bandar.
“Sebagai contoh, dalam bajet 2019 sebanyak RM9.073 bilion telah diperuntukkan. Ia cukup bermakna kepada kami semua dan merupakan pembakar semangat perjuangan kami,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM6.049 bilion atau 67 peratus adalah untuk pembangunan kawasan luar bandar.
“Ini diteruskan lagi dalam bajet 2020 dengan peruntukan keseluruhan RM9.891 bilion. Daripada RM6.597 bilion itu telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan yang mana RM4.141 bilion atau 63 peratus dikhaskan untuk pembangunan luar bandar.
“Ini juga termasuk RM5.192 bilion untuk projek elektrik dan air, RM5.145 bilion bagi jambatan, RM797 juta buat sektor pertanian, RM40.5 juta diberikan bagi membaikpulih sekolah daif.
“Beliau juga tidak lupa untuk menyelesaikan masalah berkaitan tanah khususnya kepada kaum bumiputera. Abang Jo telah bertindak untuk meminda Kanun Tanah Sarawak bagimempertahanan Hak Adat Tanah Bumiputera (NCR) dan mengiktiraf konsep Pulau Galau dan Pemakai Menua,” katanya.
Tambahnya, Abang Jo telah memperuntukkan dana sebanyak RM40 juta untuk operasi pengukuran tanah NCR.
“Banyak pencapaian lain yang telah dilaksanakan oleh Ketua Nenteri. Pada waktu kita menghadapi pandemik Covid-19, Abang Jo juga telah menunjukkan keprihatinan beliau kepada keresahan dan masalah yang dihadapi rakyat apabila mengharungi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion yang telah disediakan khas untuk Bantuan Sarawakku Sayang bagi membantu rakyat Sarawak yang memerlukan,” ujar Uggah.
Jelasnya lagi, bantuan itu telah disampaikan melalui barangan makanan, bantuan kewangan untuk mereka yang hilang pendapatan, hilang kerja dan sebagainya.
“Bagi operasi mencegah penularan Covid-19 pula, sebanyak RM70 juta telah diperuntukkan. Inilah seorang pemimpin yang benar-benar prihatin dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat di dalam jiwanya.
“Parti pembangkang sebenarnya cemburu apabila betapa banyaknya pembangunan yang telah dirancangkan oleh Kerajaan GPS. Dengan itu mereka menuduh semua ini cuma ‘Hot air’ semata-mata. Apa yang mereka tidak tahu adalah Abang Jo mempunyai strategi sendiri bagi mencari dana untuk projek pembangunan yang telah dirancang,” katanya.
Sehubungan itu, dengan caranya tersendiri Ketua Menteri telah mengilhamkan beberapa kaedah yang menonjolkan kebijaksanaan dan kepintarannya mendapatkan dana lebih untuk Sarawak dengan caranya tersendiri.
“Ini termasuk pengenalan Cukai Jualan (SST) yang menggunakan Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 termasuk lima peratus SST kepada produk petroleum. Begitu juga dengan pengenalan Development Bank of Sarawak (DBOS), pengambilalihan Empangan Hidroelektrik Bakun dan sebagainya.
“Maka dengan sumber kewangan ini, Sarawak dapat menyaksikan projek yang dirancang telah dibangunkan. Janji Abang Jo ditepati dengan pelaksaaan projek yang telah dirancang. Kita boleh lihat dari Lundu hinggalah ke Lawas, banyak projek sedang dilaksanakan,” ujarnya.
Oleh Earl Anek / Valentine Ngumbang