LAWAS: Daerah Kecil Sundar bakal dibangunkan menjadi sebuah pekan dalam taman yang dipenuhi pokok Sakura.
Ini akan menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan dan juga pusat penduduk Lawas beriadah sambil menikmati keindahan bunga daripada pokok Sakura.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan menjelaskan bahawa kawasan pekan Sundar didapati sesuai untuk pertumbuhan pokok Sakura.
Seterusnya beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu, Kerajaan Sarawak akan terus memberi fokus kepada pembangunan di Daerah Lawas menerusi berbagai pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan kementerian serta jabatan seperti di beberapa kawasan lain di negeri ini.
Melalui pelan terancang membabitkan aspek pembangunan sosial, ekonomi dan masyarakat, Kerajaan Sarawak telah merancang untuk membangunkan Pekan Sundar dengan berbagai pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan sosio- ekonomi penduduk.
“Secara keseluruhannya, saya mahu melihat Pekan Sundar ini dirancang dengan pembangunan yang tersusun yang akan memberi manfaat kepada penduduk khususnya dalam meningkatkan sosio – ekonomi penduduk.
“Kita akan membuat ‘landscaping’ yang dirancang dengan menanam banyak pokok Sakura,” ujarnya dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Projek Sundar Waterfront dan Bangunan Baru Pejabat Daerah Kecil Sundar, Lawas semalam.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menjelaskan secara terperinci mengenai projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di Daerah Lawas menerusi peruntukkan NRDA dan peruntukkan kementerian dan jabatan lain yang dilaksanakan di Daerah Lawas ketika ini.
Ini meliputi Projek Pembinaan Waterfront Sundar melibatkan tiga fasa dengan Fasa Pertama telah siap, Fasa Kedua berjumlah RM10.7 juta siap 95 peratus dan Fasa Ketiga kini dalam perancangan.
Projek lain ialah Pembinaan Jeti berjumlah RM1.5 juta dan kini siap 75 peratus, Projek Sundar Recreational Park Fasa Pertama dibina dengan kemudahan trek jogging, trek berbasikal, surau, tandas dan blok pentadbiran dengan kos sebanyak RM10 juta di bawah NRDA dan Projek Pembinaan Anjung Usahawan Sundar menempatkan gerai jualan, kedai-kedai jualan, tempat acara awam luar dan dalam dengan kos sebanyak RM5 juta di bawah kendalian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Usahawan.
Sementara itu projek baik pulih sekolah pula meliputi Projek Baik Pulih SMK Sundar sebanyak RM3.7 juta, Projek Baik Pulih SK Luagan Sundar sebanyak RM5 juta termasuk pembinaan Dewan Serbaguna, Projek Baik Pulih SK Sundar sebanyak RM4 juta bagi menembok tanah lapang bagi mengelakkan banjir, Projek SK Aru Sundar sebanyak RM3.4 juta bagi membina dewan serbaguna, blok tadika dan bina tandas baru serta bilik kelas dan Projek Naik Taraf Bangunan SK Awat-Awat sebanyak RM1.6 juta.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Wilayah Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Hj Ubaidilah Hj Abdul Latip dan Penguasa Tanah dan Survei, Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi.
Oleh Adeng Edrus