Sarawak tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2027

Facebook
WhatsApp
SENATOR Zulkifli Hasan pada sidang media penganjuran MTHQK 2027, di Persada Majma di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 29 Oktober: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1448H/2027 yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 8 Mei tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata, penganjuran selama enam hari itu akan berlangsung di sekitar Bandaraya Kuching, dengan lokasi khusus akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan.

Beliau berkata, keputusan penganjuran MTHQK 2027 di Sarawak dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk MTHQK pada 29 Oktober, hasil penyelarasan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak.

Menurutnya, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah mencerminkan komitmen bersama kedua-dua kerajaan dalam memperkukuh syiar Islam serta memperluas manfaat program keagamaan kepada masyarakat.

“Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh syiar Islam serta memperluas manfaat program keagamaan kepada rakyat,” katanya pada sidang media penganjuran MTHQK 2027, di Persada Majma di sini, hari ini.

SENATOR Zulkifli Hasan bergambar bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam) , Datuk Abdul Rahman Junaidi dan tetamu kehormat yang lain selepas sidang media penganjuran MTHQK 2027, di Persada Majma di Petra Jaya, hari ini.

Zulkifli berkata, Sarawak mempunyai kemudahan infrastruktur yang bersesuaian, selain kekayaan warisan budaya dan kepelbagaian masyarakat yang dapat menyokong penganjuran program berkenaan.

Katanya, MTHQK bukan sekadar acara tahunan atau pertandingan untuk menentukan qari, qariah dan penghafaz al-Quran terbaik negara, sebaliknya menjadi wadah untuk menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap al-Quran serta menggalakkan penghayatannya dalam kehidupan seharian.

“Kita mahu al-Quran bukan sekadar dibaca dan dihafaz, tetapi turut difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam membentuk akhlak, memperkukuh integriti serta membina kehidupan bermasyarakat yang harmoni,” katanya.

Beliau berkata, nilai al-Quran seperti ihsan, keadilan, amanah dan takwa juga penting sebagai panduan kepada masyarakat dalam mendepani cabaran semasa, termasuk penyebaran maklumat tidak tepat dan perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Dalam pada itu, persiapan penganjuran akan diselaraskan menerusi Jawatankuasa Pelaksana yang dipengerusikan bersama oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan penglibatan agensi Persekutuan, agensi negeri serta rakan strategik berkaitan.

Penganjuran itu diharap bukan sahaja menyemarakkan syiar Islam, malah memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak serta memupuk perpaduan masyarakat melalui kecintaan terhadap al-Quran.

Oleh Shahrul Qaizat

11 kawasan Sarawak rekod IPU sederhana

KUCHING, 29 Oktober: Sebanyak 11 kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana setakat 4.00 petang