KUCHING, 29 Oktober: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bagi membincangkan usaha memperkukuh pengurusan bencana di negeri ini.
Delegasi APM Sarawak diketuai Pengarahnya, TPj. (PA) Mohtar Samat dan disambut Pengarah JKMS, Tuan Semawi Mohamad.
Turut menyertai delegasi ialah Penolong Pengarah APM Sarawak, Mej. (PA) Zulfaituri Ramlee; Ketua Cawangan Bencana dan Operasi APM Sarawak, Mej. (PA) Madihi Habib; serta Ketua Unit Sekretariat dan Perhubungan Awam dan Dokumentasi APM Sarawak, Kapt. (PA) Nazura Marlinda Sabran.

Perbincangan memberi tumpuan kepada aspek kesiapsiagaan, penyelarasan operasi serta penyaluran bantuan kepada mangsa bencana.
Kedua-dua agensi turut membincangkan pengurusan mangsa, penyediaan bantuan kebajikan dan penyelarasan tindakan bagi memastikan keperluan mereka dapat ditangani secara teratur dan berkesan.
Kerjasama itu diharap dapat meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana serta memastikan kebajikan dan keselamatan masyarakat terus diberi keutamaan.
Oleh Shikin Mahmud




