Kerajaan Sarawak terus iktiraf, pertahan hak tanah NCR rakyat

Facebook
WhatsApp
MAJLIS Penyampaian Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Masyarakat Spaoh. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

SPAOH, 29 Oktober: Kerajaan Sarawak terus komited mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat terhadap tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang terbukti sahih serta diwujudkan mengikut peruntukan undang-undang tanah sedia ada.

Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR yang membolehkan pemilik tanah memperoleh Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS).

Menurutnya, pengeluaran surat hak milik tanah bukan sahaja memberikan pengiktirafan terhadap hak pemilik tanah yang layak, malah membuka peluang kepada mereka untuk mengusahakan tanah bagi aktiviti pertanian, penternakan dan perladangan bagi meningkatkan taraf pendapatan keluarga.

“Melalui peruntukan Kanun Tanah Sarawak, kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah-tanah NCR mereka yang terbukti sahih dan diwujudkan selaras dengan peruntukan undang-undang tanah sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.

MORIS sedang berucap pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Masyarakat Spaoh. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

Majlis tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai.

Moris berkata, seramai 350 pemilik tanah menerima 488 Surat Hak Milik Tanah melibatkan keluasan keseluruhan 929.7 hektar di enam kawasan di Bahagian Betong.

Kawasan terbabit ialah Ulu Bayor Rimbas, Debak; Ulu Rimbas Asal dan Baharu; Inar, Debak; Ulu Paku, Spaoh; Kampung Hulu Spaoh serta kawasan Ulu Paku yang terlibat dalam projek perintis Jubilee Occupation Ticket (JOT).

Daripada jumlah itu, kawasan Ulu Paku, Spaoh merekodkan keluasan terbesar iaitu 350.3 hektar, melibatkan 70 penerima dan 104 surat hak milik tanah.

Beliau berkata, majlis berkenaan merupakan penyerahan surat hak milik tanah kelima yang dilaksanakan oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong sepanjang tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pengiktirafan hak tanah rakyat.

Menurutnya, pelaksanaan program pengukuran tanah NCR memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dengan penuntut tanah, khususnya dalam memastikan proses pengukuran dan pengeluaran hak milik dapat dilaksanakan secara teratur berdasarkan permohonan serta kesediaan pihak terlibat.

Berdasarkan rekod Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, sebanyak 17 kawasan terlibat dalam projek perintis pengukuran menggunakan kaedah ‘Hand-Held GPS’, dengan 549 lot seluas 578.2 hektar berjaya diukur daripada keseluruhan kawasan 2,391.17 hektar yang dikenal pasti.

Daripada jumlah itu, sebanyak 303 lot telah berjaya dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Sementara itu, projek perintis Jubilee Occupation Ticket (JOT) merekodkan 152 lot dikenal pasti, dengan 77 lot seluas 101.4 hektar telah berjaya dikeluarkan surat hak milik tanah.

Dalam pada itu, Moris menegaskan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan terus menambah baik dasar, prosedur serta proses kerja bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih cekap, pantas dan berkesan.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan 3R, iaitu Menilai Semula, Memikirkan Semula dan Memperbaharui Semangat, seperti yang digariskan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, bagi memperkukuh keupayaan penjawat awam dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Katanya, penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu seiring dengan perkembangan teknologi serta mengelakkan kelewatan, kerenah birokrasi dan amalan kerja yang tidak lagi relevan.

Beliau berharap semua penerima dapat menjaga tanah masing-masing dengan baik serta memanfaatkan pemilikan tersebut untuk kegiatan ekonomi yang produktif.

Turut hadir Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh; pemimpin masyarakat, ketua kaum serta penerima surat hak milik tanah.

Oleh Adi Safarman