KUCHING, 29 Oktober: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB) terus memperluas akses perkhidmatan kepada pelabur menerusi penyediaan kaunter di beberapa lokasi serta perkhidmatan bergerak di kawasan luar bandar Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif ASSB, Datin Norlia Madon berkata, kemudahan itu bertujuan memastikan pelabur, termasuk mereka di luar Kuching, mendapat akses lebih mudah kepada maklumat dan perkhidmatan berkaitan akaun pelaburan mereka.
Menurutnya, perkhidmatan disediakan menerusi ibu pejabat ASSB di Kuching, kaunter berjadual di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri dan UTC Sibu serta Pusat Servis Sarawak di Sarikei.
Selain itu, Pejabat Bergerak ASSAR turut melaksanakan program turun padang di kawasan luar bandar, termasuk menerusi jelajah Program Sarawakku Sayang 2026.
Beliau berkata, antara perkhidmatan ditawarkan ialah pembukaan akaun baharu, penambahan pelaburan, semakan akaun, pengemaskinian maklumat pelabur dan urusan khidmat pelanggan lain.
Sehubungan itu, pelabur digalakkan mengemas kini maklumat peribadi dalam akaun masing-masing, termasuk nombor telefon, alamat surat-menyurat, e-mel dan maklumat akaun bank bagi melancarkan urusan berkaitan pelaburan.
Norlia turut menasihatkan pelabur supaya menyemak maklumat akaun secara berkala bagi memastikan rekod sentiasa lengkap dan memudahkan urusan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa ASSAR tidak menerima pembayaran tunai bagi semua urus niaga pelaburan, termasuk deposit melalui Mesin Deposit Tunai (CDM) dan pembayaran daripada pihak ketiga.
Pelabur juga dinasihatkan supaya berwaspada terhadap individu, akaun media sosial, laman sesawang atau mesej yang mendakwa mewakili ASSAR tanpa pengesahan rasmi.
Menurutnya, ASSAR tidak melantik ejen individu atau pihak ketiga untuk menerima bayaran pelaburan, mendapatkan maklumat peribadi atau mengurus urusan pelaburan menerusi saluran tidak rasmi.
Sebelum membuat keputusan pelaburan atau mengambil sebarang tindakan berkaitan akaun, pelabur digalakkan membaca dan memahami prospektus, Halaman Serlahan Produk (Product Highlight Sheet) serta Helaian Fakta Dana (Fund Fact Sheet).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual kaunter perkhidmatan, program Pejabat Bergerak dan pengumuman rasmi menerusi platform media sosial ASSAR di Facebook, TikTok dan Instagram @amanahsahamsarawakberhad serta laman sesawang www.assar.com.my.
Untuk pertanyaan lanjut atau pengesahan terma dan syarat, pelabur boleh menghubungi pejabat ASSB menerusi talian 082-231433 atau 019-3461433 dan 019-8491433.




