
PETRA JAYA: Kritikan terhadap logo kenyalang pada Kad Bank Affin disifatkan sebagai tidak wajar kerana imej tersebut masih jelas melambangkan identiti Sarawak walaupun tidak menyerupai enggang badak sepenuhnya.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, niat Affin Bank untuk memperkenalkan imej kenyalang pada kad debit berkenaan harus dipuji kerana membawa simbol negeri ke dalam produk perbankan.
“Bagi saya, perkara ini terlalu kecil untuk dijadikan isu besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong tidak seharusnya membangkitkannya.
“Apabila orang melihat burung itu, mereka tahu bahawa itu adalah burung kenyalang.
“Tidak perlu dipertikai sekiranya tanduknya ke atas atau ke bawah,” katanya ketika ditemui media di Kompleks DUN, hari ini.
Kenyataan itu susulan daripada kritikan Violet, yang mempertikaikan reka bentuk logo berkenaan kerana didakwa tidak menyerupai burung enggang badak yang merupakan burung rasmi Sarawak.
Violet turut menyuarakan rasa kecewa kerana Affin Bank tidak merujuk kepada identiti sebenar burung kenyalang, sekali gus dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Karim menegaskan bahawa, terlalu menumpukan kepada bentuk fizikal logo adalah tindakan membesarkan perkara remeh sedangkan banyak lagi isu penting yang harus diberi perhatian demi kesejahteraan rakyat.
“Tidak semestinya setiap kali digunakan perlu menyerupai enggang badak sepenuhnya.
“Perkara yang penting ialah niat dan dalam kes ini, niat mereka ialah untuk memaparkan simbol negeri,” jelasnya.
Beliau turut membandingkan penggunaan imej burung kenyalang dalam maskot Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) yang turut tidak menyerupai bentuk asal, namun tetap difahami masyarakat sebagai lambang negeri.
“Apabila orang melihat maskot tersebut, mereka tahu itu adalah burung kenyalang dan ia sudah memadai.
“Jadi tidak perlu terlalu terikat dengan satu rupa tertentu sahaja.
“Satu penghargaan kepada Affin Bank atas inisiatif memperkenalkan kad debit khas yang hanya dikeluarkan di Sarawak, dan menyifatkannya sebagai satu usaha memperkukuh identiti negeri di peringkat nasional,” ujarnya.
Dalam satu kenyataan, Affin Bank menjelaskan bahawa reka bentuk Kad Kenyalang diilhamkan daripada Jata Negeri dan Bendera Sarawak dengan gabungan elemen warisan dan kekuatan dalam rekaan hitam putih yang berani.
Oleh Masrin Affirah/Amanda L.