Aksi cemerlang Sosa hukum Kuching City, Selangor tundukkan The Cats 2-1

Facebook
WhatsApp
Foto Football Fever XII

PETALING JAYA, 23 Oktober: Kuching City FC berdepan tugas getir menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Selangor FC pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Dua jaringan penyerang Eduardo Sosa pada minit ke-18 dan ke-57 memastikan Selangor memperoleh kelebihan menjelang aksi kedua di Stadium Taha Ariffin, Kuching.

Kuching City terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Ramadan Saifullah meledak gol pembukaan pada minit kesembilan menerusi gerakan solo yang bermula dari kawasan sendiri.

Pemain itu memperdaya Safuwan Baharudin sebelum melepaskan rembatan kencang menggunakan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Selangor, sekali gus meletakkan pelawat di hadapan 1-0.

Bagaimanapun, Selangor bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-18 apabila Sosa menyudahkan hantaran pendek Hugo Boumous dengan rembatan kaki kanan dari dalam kotak penalti yang gagal dihalang penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.

Kedua-dua pasukan kemudian terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama, sebelum Selangor meningkatkan tekanan selepas rehat.

Kuching City berpeluang kembali mendahului pada minit ke-56 apabila Etame memperoleh peluang keemasan dalam situasi satu lawan satu, namun gagal menyempurnakannya.

Kegagalan itu dihukum Selangor seminit kemudian apabila Sosa menjaringkan gol keduanya menerusi serangan balas pantas yang bermula selepas Kuching City gagal memanfaatkan sepakan penjuru.

Gerakan yang dimulakan Chrigor Moraes itu membolehkan Selangor memanfaatkan ruang ditinggalkan pertahanan pelawat sebelum Sosa menyudahkan peluang untuk mengubah kedudukan kepada 2-1.

Kuching City terus berusaha mencari gol penyamaan, dengan Chrigor hampir mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-79 menerusi satu lagi serangan balas, namun percubaannya berjaya diselamatkan Haziq Nadzli.

Dylan Wenzel-Halls turut berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-88 menerusi peluang rembatan yang jelas, tetapi penjaga gol Selangor bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

Peluang terakhir Kuching City hadir pada masa kecederaan apabila tandukan Gabriel Peres pada minit ke-90+4 hanya menggegar tiang gol, sekali gus menyaksikan keputusan kekal 2-1 sehingga wisel penamat.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan DPMM FC 2-0 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, menerusi jaringan Bergson dan Eddy Israfilov.

Kuching City kini perlu bangkit pada aksi timbal balik di Stadium Taha Ariffin untuk menghidupkan peluang mara ke final Piala FA.