
KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, tidak sabar untuk beraksi pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 di Gumi, Korea Selatan yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 31 Mei ini.
Atlet berusia 29 tahun itu berkata segala persiapan yang dilakukannya berjalan lancar setakat ini, dan beliau kini memberi tumpuan penuh untuk memperkemas aspek teknikal lemparannya menjelang kejohanan berprestij tersebut.
“Ketika ini, dari segi latihan, tiada banyak perkara yang perlu diubah dan saya kekal dengan rutin yang sama seperti sebelum ini. Fokus saya kini adalah terhadap aspek teknikal dan daya letupan.
“Mudah-mudahan tiada sebarang kecederaan berlaku sebelum kejohanan,” katanya menerusi satu video yang dikongsikan Olahraga Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Muhammad Irfan berkata beliau tidak mahu meletakkan sebarang tekanan tinggi kepada dirinya menjelang kejohanan tersebut, sebaliknya berhasrat untuk beraksi dengan tenang dan memberikan persembahan terbaik.
“Harapan saya adalah untuk memberikan yang terbaik, 110 peratus apabila turun ke gelanggang. Saya hanya mahu menikmati kejohanan ini dan tidak terlalu tertekan,” katanya.
Untuk rekod, pada edisi 2023 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, Muhammad Irfan meraih pingat gangsa menerusi catatan sejauh 59.63 meter (m), sekali gus menjadi satu-satunya pingat yang disumbangkan oleh kontinjen negara pada kejohanan tersebut.
Pencapaian terbaik atlet kelahiran Negeri Sembilan itu di ATF adalah pada edisi 2017 di Bhubaneswar, India, apabila beliau meraih pingat perak dengan balingan sejauh 60.96m.– Bernama