SARIBAS: Kematangan politik yang ditunjukkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) antara faktor yang berjaya memikat golongan muda menyertai parti itu sekali gus mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam berkata ia jelas terbukti berdasarkan keahlian parti itu kini telah mencapai seramai 5,599 ahli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas
“Atas keyakinan itu PBB mampu menjadikannya antara parti politik yang dominan di negeri ini. Trend keahlian di DUN Saribas dilihat meningkat dan sebanyak 539 permohonan baharu telah diterima di peringkat Ibu Pejabat PBB,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda PBB Saribas di Dewan Lakid, baru-baru ini.
Razi berkata peningkatan itu menunjukkan PBB terus menjadi pilihan rakyat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar seperti Saribas.
Jelas Razi, kerana kematangan itu jugalah politik Sarawak menjadi stabil hingga membolehkan para pemimpinnya memberi tumpuan kepada aspek pembangunan.
“Kematangan PBB dalam mengurus tadbir masalah rakyat akan terus diperkasa melalui pendekatan turun padang dan melaksanakan kerja kebajikan membantu rakyat yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Beliau berkata, PBB Saribas sentiasa mengalu-alukan penyertaan golongan belia dalam PBB dan menjadikan parti itu sebagai saluran pandangan dan harapan golongan muda.
“PBB adalah merupakan platform perjuangan terbaik dan sesuai untuk anak Sarawak, khususnya hak dan pembangunan Sarawak.
“Pergerakan Pemuda PBB Saribas terus bergerak aktif dalam menjelaskan hala tuju perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya di DUN Saribas.
“Bagi menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan, Pemuda PBB Saribas bersama Jawatankuasa Induk dan Pergerakan Wanita Saribas bersedia untuk mempertahankan DUN Saribas,” katanya.
Sehubungan itu, kata Razi Pemuda PBB Saribas akan terus berdiri teguh di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam mempertahankan hak-hak Sarawak.
Turut hadir ialah Naib Ketua Cawangan PBB Saribas, Abdul Kadir Menterang dan Setiausaha Cawangan PBB Saribas, Ahmad Pandoi dan Ketua Pemuda PBB Saribas, Mahadir Seliman.
Oleh Adi Safarman